Pas buat u-turn, akur dengan syarat UMNO guna logo sendiri di tiga buah negerinya?

Pas buat u-turn, akur dengan syarat UMNO guna logo sendiri di tiga buah negerinya?

PAS akan terus menggunakan logo parti itu di Kelantan, Terengganu, Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Berita Harian, bagaimanapun di negeri lain, beliau berkata, PAS berkemungkinan besar akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

“Sudah dimuktamadkan dan akan dibawa ke Majlis Pimpinan Tertinggi PN,” katanya dalam wawancara dengan HarakahDaily, semalam.

Semalam, mesyuarat Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat memutuskan parti itu memilih PN sebagai sekutu menghadapi PRU15.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dipetik berkata keputusan itu dibuat atas prinsip penyatuan ummah.

Dengan perkembangan itu, bermakna PAS menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjalinkan kerjasama pada PRU15.

Mengulas lanjut keputusan itu, Tuan Ibrahim menjelaskan disebabkan PAS berdaftar sebagai PN, maka parti terbabit akan bersama gabungan berkenaan.

Malah, beliau berkata, PAS sudah menggerakkan kekuatan jentera PN peringkat negeri, dan perkara itu harus diteruskan.

“Oleh kerana mereka (UMNO) tidak hendak bersama (PN) dan mereka (UMNO) sudah membuat keputusan untuk bergerak solo, jadi kita… bersama PN.

“Sebab UMNO sudah membuat keputusan untuk solo banyak kali, mereka hendak solo. Oleh kerana mereka membuat keputusan hendak solo, jadi takkan kita hendak bersama dia?” katanya.

Mengulas keputusan PAS tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan dan Terengganu pula, Tuan Ibrahim berkata, pendirian itu dibuat kerana PAS tidak mahu terheret dengan kemarahan rakyat jika DUN dibubarkan

“Isu kita di sini ialah rakyat marah dengan pembubaran Parlimen sekarang, dan kita tak mahu terheret sama dengan kemarahan rakyat jika kita membubarkan DUN.

“Kita juga perlu konsisten, malah kita sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan tidak bersetuju jika pilihan raya dibuat pada musim banjir,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan jika DUN tiga negeri itu dibubarkan nanti, ia akan bercanggah dengan apa yang sudah diputuskan.

“Oleh itu, kita konsisten dengan keputusan harian bahawa tiga DUN di tiga negeri terbabit tidak akan dibubarkan sekiranya mereka mengambil keputusan untuk membubarkan pada waktu ini.

“Soal kos dan sebagainya, kita akui tetapi (ini) kesilapan mereka, bukan kita. Kenapa mereka bubar (Parlimen) pada waktu ini? Rakyat susah, kalau banjir berlaku. Kemudian sekolah akan menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) jika banjir. Kita bimbang, takut-takut kemarahan rakyat sekarang sangat ketara,” katanya.

Mengenai senarai calon daripada peringkat kawasan atau negeri pula, beliau menjelaskan, parti sudah mengarahkan negeri menghantar calon dengan segera kerana ia perlu diangkat kepada Majlis Syura (Ulamak) untuk diputuskan.

“Mereka akan hantar sekurang-kurang tiga nama dan Majlis Syura akan meneliti kelayakan calon, kemudian membuat keputusan dan diserahkan semula kepada parti untuk membuat pilihan… antara tiga ini mana satu yang akan menjadi calon,” katanya.

Mengenai Muafakat Nasional (MN), Tuan Ibrahim berkata, gagasan penyatuan ummah itu diteruskan dan perkara berkenaan akan diteliti semula.

“Kita akan tengok nanti bagaimana. Penyatuan ummah masih berjalan, penyatuan ummah ini bukan faktor pilihan raya saja, pilihan raya ini kita dengan PN,” katanya.