Pas buat u-turn, umum bertanding dalam PRN Melaka

Pas buat u-turn, umum bertanding dalam PRN Melaka

PAS akan meletakkan calonnya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di negeri itu, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau bagaimanapun berkata parti itu belum membuat keputusan mengenai nama calon dan bilangan kerusi yang bakal ditandingi.
Katanya pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa induk bagi PRN Melaka yang dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Ia memang menjadi hasrat PAS untuk bertanding tetapi mengenai calon dan berapa kerusi, termasuk konsep yang akan digunakan, ia belum diputuskan lagi tetapi kita memang akan ambil bahagian.

“Kita juga mengharapkan pelaksanaan PRN Melaka nanti akan berteraskan muafakat sebagaimana di peringkat persekutuan. Semua parti bersatu tidak ada pertembungan antara satu sama lain.

“Kita akan bersama dengan semua parti yang bersama dengan kerajaan persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS kawasan Kota Bharu kali ke-54 di sebuah hotel di sini hari ini.

Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PAS bertanding di 23 daripada 28 kerusi DUN secara solo di Melaka.

“Walaupun kita tidak menang tetapi ia telah menunjukkan prestasi yang baik di beberapa kerusi di tempat yang kita bertanding,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan DUN Melaka terbubar pada 4 Okt lalu selepas Ketua Menterinya Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang sokongan, susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan menarik sokongan terhadap kepimpinannya.

Empat ADUN yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Mengenai Muktamar Tahunan PAS Ke-67 pada tahun ini, Takiyuddin berkata ia akan diadakan secara hibrid mengikut prosedur operasi standard (SOP) norma baharu.

“Pada tahun ini semua peringkat ada pemilihan. Tempat utama muktamar ini akan diadakan di Terengganu, bagi PAS Kota Bharu dijangka seramai 270 ahli akan hadir secara fizikal,” tambahnya.

Sumber – MalaysiaGazette