Pas ingatkan UMNO, Muafakat Nasional masih tiada bernisan

Pas ingatkan UMNO, Muafakat Nasional masih tiada bernisan

PAS akan meneruskan usaha Muafakat Nasional (MN) bersama Umno “selagi belum sampai masanya” demi perpaduan dan kestabilan negara.

Memetik laporan FMT, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata perjumpaan antara pemimpin parti itu dan Umno sentiasa berlangsung walaupun tiada mesyuarat melibatkan MN.

“Kita ada usaha yang sedang dan akan terus buat. Selagi tak sampai masanya kita akan teruskan demi untuk perpaduan dan kestabilan negara.

“Tidak ada mesyuarat MN pun kita bertemu pemimpin parti berkenaan. Kita sentiasa bertemu, waktu terdekat kita bertemu dan dalam waktu terdekat akan bertemu pun ada,” katanya menurut Malaysiakini.

Takiyuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peluang dan ruang kerjasama antara PAS dan Umno melalui MN menjelang PRU15.

Pada 15 Jun lalu Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata tindakan PAS tidak menepati janji dan bersikap konsisten adalah punca kerjasama dalam MN “tergelincir” kerana parti itu tetap memilih untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Katanya, Umno turut dipersalahkan sehingga dianggap mengkhianati MN sedangkan PAS menolak kerjasama dengan Umno dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka tahun lalu selepas diminta menggunakan lambang sendiri, bukannya PN.

Sementara itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menegaskan PAS sentiasa mengutamakan penyatuan ummah dan perpaduan nasional.

Katanya, apa saja usaha menuju ke arah itu akan diterokai termasuk kerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh mewujudkan penyatuan ummah.

“Tak kiralah parti mana, kita nak bersatu. Kita tidak putus hubungan dengan MN, itu jelas. PAS tidak putus hubungan dengan MN,” katanya.