Pas Johor luah kekecewaan, mahu agihan jawatan lantikan politik dilakukan secara adil

Pas Johor luah kekecewaan, mahu agihan jawatan lantikan politik dilakukan secara adil

KENYATAAN MEDIA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

1. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT serta selawat dan salam ke atas
junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

2. Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (PAS Johor) memberi perhatian serius terhadap perkembangan muktakhir berkaitan dengan pembahagian jawatan Ahli Majlis (AM) dan Ketua Kampung (KK) di seluruh negeri yang telah diluluskan oleh Menteri Besar (MB) Johor.

3. Berdasarkan kepada perlantikan AM yang terkini di Majlis Perbandaran Muar, MPP, Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) tiada lantikan daripada wakil PAS seperti mana yang telah dipersetujui dalam perbincangan sebelum ini.

4. Sebelum itu, PAS Johor tidak dipanggil untuk mengadakan perbincangan bagi lantikan KK di seluruh negeri Johor yang menyaksikan bahawa PAS hanya diberikan sebanyak 36 KK yang mewakili hanya 5% KK di seluruh negeri Johor.

5. Apa yang berlaku ini memberikan isyarat yang salah dalam usaha memperkasa Muafakat Nasional di Johor khususnya, sejak dari mula penubuhan kerajaan baharu pada bulan Mac tahun lalu.

6. PAS Johor sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan pertemuan dengan MB Johor dan Exco yang berkaitan namun nampaknya ia tidak membuahkan hasil yang positif. PAS Johor juga telah menggunakan platform mesyuarat MN untuk membawa hasrat yang akhirnya telah dipersetujui bersama namun hasilnya
adalah sangat mendukacitakan.

7. PAS Johor tetap berpegang kepada arahan Presiden PAS supaya terus memperkasa Muafakat Nasional dan mempertahan kerajaan Perikatan Nasional namun sekiranya perkara ini tidak diperbaiki maka dibimbangi tindakan MB Johor ini akan mengeruhkan lagi keadaan.

Sekian. Wassalam.

USTAZ ABDULLAH BIN HUSIN
Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor