Pas kata kerjasama dengan Umno demi ummah

Pas kata kerjasama dengan Umno demi ummah

Kerjasama UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) tidak akan terkubur kerana ia bukan semata-mata gabungan politik, sebaliknya dibentuk sebagai wawasan untuk menyatukan ummah.

Justeru, Setiausaha Agong PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengenai pengagihan kerusi tidak lagi antara kedua-dua parti itu, sebaliknya antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) itu, tidak mewakili pendirian partinya.

Katanya, sebarang kenyataan rasmi berhubung urusan berkenaan terutama membabitkan antara PAS dengan UMNO hanya boleh dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Asyraf Wajdi bukan Presiden UMNO, biar Presiden UMNO yang buat kenyataan itu. Ini kerana PAS sendiri, Ketua Pemuda tidak pernah buat kenyataan seperti itu.

“Jadi, saya rasa kenyataan itu bukan mewakili UMNO dan saya tidak perlu komen mengenainya,” katanya kepada media selepas Majlis Perjumpaan bersama Datuk Bandar dan Yang Dipertua (YDP) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kedah di Pejabat Daerah Baling di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Asyraf Wajdi berkata, perbincangan pengagihan kerusi pilihan raya tidak lagi membabitkan antara UMNO dengan Pas yang sudah secara rasmi menyertai PN sebagai parti komponen.

Takiyuddin berkata, pihaknya masih melakukan perbincangan bersama UMNO dan PN berhubung pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tambahnya, sebarang keputusan rasmi hanya selepas Parlimen dibubarkan kelak.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga ketika ini bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk PRU-15 yang dijangkakan berlaku dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya, kerjasama UMNO dan BN dengan PN untuk PRU-15 akan banyak bergantung kepada soal persefahaman dalam pengagihan kerusi.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2020/12/767154/kerjasama-umno-pas-demi-ummah-bukan-hanya-gabungan-politik-takiyuddin