PAS kata MN setuju libatkan Bersatu dalam rundingan kerusi

PAS kata MN setuju libatkan Bersatu dalam rundingan kerusi

Muafakat Nasional (MN) bersetuju untuk menjemput Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berbincang mengenai pengagihan kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu dibuat Jawatankuasa Perundingan Kerusi dalam mesyuarat yang diadakan bersama UMNO minggu lepas.

“Mesyuarat terakhir yang dibuat pada minggu lepas… yang saya pengerusikan bersama Datuk Seri Mohamad Hasan (Timbalan Presiden UMNO)… kita bersetuju untuk jemput sekali Bersatu berada dalam jawatankuasa pengagihan kerusi supaya perundingan itu melibatkan tiga parti.

“Insya-Allah, peringkat Pas dan UMNO sangat positif (pengagihan kerusi) akan selesai,” katanya di sini, hari ini.

Katanya jawatankuasa berkenaan sudah mengadakan mesyuarat beberapa kali sebelum ini tanpa penyertaan Bersatu.

Katanya perbincangan bersama dalam MN setakat ini positif ke arah mencari penyelesaian supaya tidak berlaku pertembungan tiga penjuru antara Perikatan Nasional (PN) dan MN.

Katanya, perbincangan pengagihan kerusi dalam MN kini sudah mencapai tahap 50 peratus penyelesaian.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-politik/muafakat-nasional-jemput-bersatu-bincang-pengagihan-kerusi-pru15-273868