Pas namakan calon di Titiwangsa, hasrat Wan Ahmad Fayhsal bertanding PRU-15 semakin kelam

Pas namakan calon di Titiwangsa, hasrat Wan Ahmad Fayhsal bertanding PRU-15 semakin kelam

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal sekali lagi berdepan ujian getir dalam mencari kerusi selamat pilihanraya selepas Pas berkeras meletakkan calonnya di parlimen Titiwangsa.

Dia yang sebelum ini dilaporkan media tempatan bakal bertanding di parlimen Bagan Serai walaubagaimanapun terpaksa membatalkan hasratnya selepas penyandang kerusi tersebut, Dr Noor Azmi Ghazali, yang juga dari Bersatu enggan memberi laluan.

PAS hari ini berkata calonnya yang merupakan seorang doktor gigi berusia 52 tahun itu juga adalah timbalan ketua dewan muslimat PAS Pusat yang sering melakukan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan di seluruh negara.

“Beliau sangat mudah mesra dengan orang ramai walaupun baru pertama kali berjumpa.

“Ia mengingatkan kami kepada Al-marhumah YB Dr Lo’ lo’ Mohd Ghazali yang pernah berkhidmat menjadi ahli parlimen Titiwangsa selepas PRU 2008 yang lalu,” kata kenyataan parti itu.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Johari Ghani dikatakan akan membuat kemunculan semula di Parlimen Titiwangsa pada pilihan raya umum ke-15.

Menurut sumber, penduduk di kawasan itu memang inginkan ketua Umno bahagian Titiwangsa itu untuk bertanding semula di kawasan tersebut, memandangkan dia sering konsisten membantu penduduk di kawasan tersebut walaupun tidak lagi menyandang di kerusi itu.

“Sebelum ni dia MP Titiwangsa, bila dia tak ada (kalah) orang ramai tak dapat bantuan bila dia tak ada,” menurut sumber tersebut.

“Memang dia (Johari) bertanding. Penduduk minta dia untuk bertanding.

“Tak ada orang (calon) lain… Kalau BN memang dia saja,” katanya.

Johari anak jati Kuala Lumpur sebelum ini pernah menjadi ahli parlimen di Titiwangsa, dengan kemenangan 23,034 undi menentang Ahmad Zamri Asa’ad Khuzami dari PAS (22,168) pada PRU13. Dia juga merupakan bekas menteri kewangan kedua sewaktu pentadbiran BN.

Bagaimanapun, kerusi tersebut dirampas oleh Rina Harun dari Bersatu, yang kini merupakan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dengan majoriti 4,139 undi, dalam pertandingan tiga penjuru di antara Johari (19,701) dan Mohamad Noor Mohamad (6,845) dari PAS.

Difahamkan, Rina yang sebelum ini merupakan ketua puteri Umno bahagian Sepang akan diletakkan bertanding parlimen Sepang oleh PN untuk PRU15.

Antara nama lain dilaporkan akan bertanding di Parlimen Titiwangsa ialah bekas ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad, calon Muda Siti Rahayu Baharin (Cikgu Ayu), Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Rosni Adam.

Susulan pengumuman itu, Malaysiakini mendapatkan maklum balas daripada Wan Ahmad Fayhsal, memandangkan Bersatu merupakan sebahagian daripada PN.

“Saya? Belum tahu (kerusi mana untuk ditandingi),” jawabnya ringkas.