Pas nasihat Umno dan Bersatu tidak berbalah antara satu sama lain

Pas nasihat Umno dan Bersatu tidak berbalah antara satu sama lain

Parti politik Melayu Islam negara ini digesa untuk bersatu dan tidak berbalah antara satu sama lain, demikian nasihat Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, perbalahan parti politik orang Melayu Islam akan memberi ‘oksigen’ kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP untuk kembali berkuasa.

“PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) telah beri pengajaran kepada parti politik orang Islam Melayu. Berbalah bererti memberi ‘balang oksigen’ kepada DAP dan PH untuk berkuasa.

“(Pentadbiran PH) 22 bulan sepatutnya memberi iktibar dan pengajaran yang berguna kepada kita,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, dalam PRU-14 lalu, kuasa 35 peratus (orang bukan Melayu) telah menang dan mengatasi kuasa penduduk 65 peratus orang Islam dan Melayu di negara ini.

Kata beliau, puncanya apabila 35 peratus orang bukan Melayu memberi sokongan penuh kepada DAP dan PH, sedangkan pengundi Melayu Islam yang 65 peratus berpecah kepada tiga (Umno, PAS, (PH BERSATU).

Jelasnya, sejarah yang sama akan berlaku pada PRU ke-15 sekiranya parti Melayu Islam tidak bersatu.

“PRU15 akan mengulangi sejarah yang sama. Waktu itu menangis air mata berdarah tidak berguna lagi,” jelasnya.

Beliau turut memetik ayat al-Quran daripada Surah al-Anfal ayat 46 yang bermaksud “Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”.

“Amaran Allah di dalam al-Quran sepatutnya menjadi iktibar kepada pemimpin parti politik orang Melayu Islam,” katanya.

Sumber: https://harakahdaily.net/index.php/2021/01/07/usah-berbalah-kekalkan-perpaduan-ustaz-idris/?utm_campaign=01-07-21—Berbalah-berert&utm_source=Message&utm_medium=Facebook