PAS Pahang bersedia bertanding kerusi kurang berbanding PRU14

PAS Pahang bersedia bertanding kerusi kurang berbanding PRU14

Pas Pahang menjangkakan bilangan kerusi yang bakal ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini lebih rendah berbanding PRU14 lalu.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, jangkaan itu berdasarkan senario politik semasa di mana Pas tidak lagi bertanding secara solo pada PRU15 sebaliknya akan bersama di bawah Perikatan Nasional (PN) dan Maufakat Nasional (MN).

Menurutnya, pada PRU14, Pas bertanding di 41 kerusi dan menjangkakan jumlah itu tidak lagi sama atau kurang pada PRU15 nanti.

“Keadaan ini mungkin akan berlaku kerana kita mesti berkongsi dengan rakan gabungan dalam PN dan ia mesti diterima oleh ahli Pas.

“Bagaimanapun, kami di peringkat MN Pahang belum lagi berbincang berhubung pembahagian kerusi kerana ia bakal diputuskan di peringkat MN Pusat.

“Jadi kami di peringkat negeri akan akur dengan apa jua keputusan,” katanya ketika ditemui pada Program Sembang Politik bersama Media Pas Pahang pada Khamis.

Dalam pada itu, Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur mengakui Pas Pahang mempunyai sasaran kerusi-kerusi yang bakal ditandingi selain lapan kerusi sedia ada.

“Memang kita ada sasaran kerusi dan kita pun telah kemukakan senarai-senarai kerusi untuk bertanding kepada Pas Pusat untuk dibincangkan bersama pemimpin tertinggi rakan muafakat.

“Kita juga telah sediakan demografi kekuatan dan kemunasabahan Pas untuk bertanding di kerusi sasaran itu, namun buat masa ini saya tidak boleh sebutkan senarai kerusi-kerusi itu,” katanya.

Beliau turut yakin UMNO khususnya Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melihat senario itu dan akan membuat satu keputusan yang terbaik dan seimbang.

“Saya yakin ada tolak ansur dalam pembahagian kerusi di negeri ini memandangkan kami mempunyai hubungan yang baik dan sentiasa berbincang.

“Pembahagian kerusi di negeri ini pastinya mengambil kira keseimbangan tersebut supaya rakyat melihat Pas dan UMNO sebagai satu gabungan yang harmoni serta menghargai antara satu sama lain,” katanya sambil memberitahu Pas Pahang bersiap sedia berdepan PRU15 pada bila-bila masa sahaja.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/115341/BERITA/Politik/Kerusi-Pas-di-Pahang-dijangka-kurang-berbanding-PRU14