Pas Perak akui AMANAH lebih diterima sewaktu menjadi kerajaan berbanding Pas

Pas Perak akui AMANAH lebih diterima sewaktu menjadi kerajaan berbanding Pas

TERLALU banyak yang hairan dengan Kerajaan PN khasnya PAS. Mereka tanya kenapa tak buat itu, kenapa tak buat ini, kenapa tak tunai janji, di mana perjuangan dulu, dan seribu satu pertanyaan lain yang dilontar di media massa. Cuma apabila saya ziarah satu persatu profil mereka ternyata kebanyakan yang komen itu bukan penyokong PAS atau PN pun.

Kebanyakannya fake akaun atau musuh politik PAS. Ada satu dua yang saya tahu menyokong PAS namun sangat jarang atau tidak pernah mengikuti tarbiah atau program dalaman PAS. Namun golongan inilah yang saya sasarkan sebagai penjelasan dalam tulisan ini.

Perlu difahami bahawa kelahiran Kerajaan PN adalah bersifat penyelamat. Ia bukan dibentuk dengan manifesto sebelum pilihan raya seperti PH atau BN. Ia kerajaan penyelamat. Saya ulangi, kerajaan penyelamat.

Tanpa perlu saya perincikan, semua tahu kemusnahan yang berlaku di zaman PH. Tempoh 22 bulan sangat menggusarkan rakyat. Semua janji bertulis atau lisan dipersetankan oleh pemimpin PH. Mereka berdalih dengan sejuta dalih dan pembohongan. Namun si bodoh kekal menerima tahi lembu itu hidangan lazat untuk dimakan.

Kepentingan orang Melayu dan kakitangan awam terancam. Harta negara tergadai satu persatu kepada syarikat bukan-Melayu. Kakitangan awam ingin dikurangkan. Pencen akan dihapuskan. LTTE seakan dapat perlindungan. Di negeri DAP kuat seperti Perak dituntut hak tanah 999 tahun.

Keadaan ini disedari oleh pemimpin BERSATU yang bersama dalam PH. Tun Mahathir juga menyedari hingga Kongres Melayu dilaksanakan. Faizal Azumu yang menjadi MB Perak selalu meluahkan tekanan DAP dan rakan sekutunya agar diluluskan 999 tahun tanah kepada kampung baru. ADUN dari PAS menjadi tempat beliau mengadu.

Menyedari keadaan ini, tempoh tamat Parlimen terlalu lama dan mungkin jika dibiarkan, agama dan bangsa tidak lagi dapat diselamatkan. Maka berlakulah perbincangan antara MN dan sekutu PH yang sedar bahaya yang menanti negara.

Perbincangan dibuat untuk menyelamatkan masa depan negara. Ia longgar dan tiada ‘keteguhan matlamat’ selain menghalang kemusnahan dilakukan PH dan menyelamatkan negara. Rakyat menyedari keadaan ini namun hanya pemimpin yang telah diundi mampu membetulkannya.

Seperti terbentuknya Muafakat Nasional antara PAS dan Umno, begitulah terbentuknya Perikatan Nasional. Semua parti melupakan sengketa dan dendam demi menyelamatkan negara. Ia berjaya dilakukan. Kerakusan dapat dihentikan. Satu demi satu negeri berubah kepimpinan termasuk Perak yang didominasi DAP.

Selepas negara diselamatkan, PN bersedia ke arah membubarkan Parlimen agar rakyat membetulkan kembali mandat akibat penipuan janji bulan bintang dan ‘Pluto menjadi destinasi pelancongan’ oleh PH. Satu demi satu PRK membuktikan kesedaran dan persediaan rakyat membetulkan kesilapan. Namun negara dan dunia dilanda wabak COVID-19 yang merencatkan segalanya.

Tumpuan Kerajaan PN adalah menyekat pandemik ini. Ia hampir berjaya biarpun tanpa pengalaman menghadapi musibah ini. Dana yang besar disediakan kerajaan sekali gus mendedahkan satu lagi pembohongan negara hampir muflis oleh kerajaan RM30. Kerakusan PH menyekat perubahan kuasa di Sabah hingga menyebabkan PRN Sabah menjadi titik hitam yang kita hadapi akibat COVID-19 hari ini.

Walaupun mereka perolehi Sabah secara ‘pintu belakang’ namun mereka tidak mahu keluar dari pintu yang mereka masuk.
Kesimpulannya, kerajaan yang ada ini bukan untuk melaksanakan pelbagai agenda dan impian perjuangan khasnya bagi PAS yang hanya miliki 18 MP dan 3 Menteri. Ia kerajaan sandaran untuk menyelamatkan negara sebelum mandat diserahkan kembali kepada rakyat.

Kaedah islam mengajar kita ‘mengelak mudarat’ sekalipun mungkin belum dapat melaksanakan impian perjuangan.

Saya akan sambung lagi tulisan ini. Cukup seketika bagi memahami mengapa banyak agenda yang diperjuangkan belum dilaksanakan.

Kita jatuh dalam air kumbahan yang dalam dan bahaya untuk nyawa. Selamatkan dulu nyawa kita dan rakan-rakan. Usah ditanya kenapa tak berbau wangi sedangkan kita penjual minyak wangi.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak

Sumber: https://harakahdaily.net/index.php/2021/06/10/jangan-ditanya-mengapa-tak-wangi/?utm_campaign=06-09-21+-+Kerajaan+yang+a&utm_source=Message&utm_medium=Facebook