Pas sibuk persoal kerajaan jamu rakyat makanan, mereka jamu air kotor warna teh ais

Pas sibuk persoal kerajaan jamu rakyat makanan, mereka jamu air kotor warna teh ais

 

Orang ramai mencemuh dan menyindir Perikatan Nasional (PN) yang dilihat ‘melatah’ dengan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri bermula 29 April ini.

Menurut harapandaily, reaksi awam itu dapat dilihat di ruangan komentar bagi hantaran Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menganggap program sambutan Aidilfitri itu sebagai keterlaluan.

“Elok jamu makan dari jamu rakyat teh o beng (dipercayai merujuk air keruh di Kelantan).

“Dulu, orang ramai susah masa PKP, PM ketika itu, Mahiaddin Yassin sibuk buat dewan berjuta-juta ringgit, diam seribu bahasa puak lebai (Pas).

“Kerajaan jamu rakyat makan pun keterlaluan. Masa PN jadi kerajaan, banyak perkara keterlaluan yang dibuat, tak keterlaluan ke?” demikian antara kata warganet.

Takiyuddin yang juga Ketua Whip PN hari ini dalam kenyataannya berkata, blok pembangkang itu terkejut dan ralat atas keputusan Kerajaan Pusat mengadakan majlis sambutan Hari Raya secara bergilir-gilir di enam negeri.

Menurutnya, keputusan Putrajaya itu jelas berlebih-lebihan malah kelihatan terlalu gelojoh dan sangat menjolok mata, selain tidak wajar dipertahankan.

“Langkah sebegini sekiranya dikatakan untuk meraikan hari kebesaran Agama serta muhibah umat iaitu Hari Raya Aidilfitri, ternyata jauh tersasar dan jelas akan tercemar.

“Ini kerana ia tidak lagi boleh dipisahkan daripada motif politik dan persaingan pengaruh menjelang PRN yang bakal berlaku beberapa bulan sahaja lagi,” tambahnya.

Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri dirancang bermula di Kedah pada 29 April ini.

Seterusnya, di Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei) dan Terengganu (13 Mei).

Kemuncak sambutan Aidilfitri yang julung kali diadakan semasa pentadbiran kerajaan dipimpin Anwar ini ialah di Selangor pada 14 Mei.