Pas tagih simpati UMNO Johor beri peluang bina semula Muafakat Nasional

Pas tagih simpati UMNO Johor beri peluang bina semula Muafakat Nasional

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussin hari ini mengesahkan telah pun menghubungi Menteri Besar Johor, Hasni Mohamad bagi membincangkan pilihanraya negeri (PRN) nanti.

Menurut laporan yang didedahkan portal FMT, antara topik perbincangan yang akan dibangkitkan dalam pertemuan dengan Ketua UMNO Johor itu termasuklah menjayakan semula usaha memperkukuh Muafakat Nasional (MN) yang berdepan masalah selepas Pas kekal memilih berada dalam gabungan pakatan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

“Buat masa ini, kita sedang berusaha ke arah itu (usaha jayakan MN). PAS Johor sudah berhubung dengan pihak Umno Johor dan telah mendapat maklum balas baik untuk bertemu Menteri Besar.

“InsyaAllah, satu perbincangan akan dilakukan dalam masa terdekat hasil hubungan baik antara kedua-dua parti,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Abdullah berkata, PAS Pusat juga telah memberikan lampu hijau buat PAS Johor supaya menjayakan usaha penyatuan MN itu dan beliau mengharapkan dapat mencapai persefahaman bagi tujuan berkenaan.

Tambah beliau, pembahagian kerusi juga akan dibincangkan bersama kepimpinan pusat selain dalam pertemuan bersama Hasni sedikit masa lagi.

“Sedikit atau banyak kerusi yang akan ditandingi, ia hanya dibincangkan di peringkat dalaman sahaja. Masih belum dimuktamadkan lagi,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), hanya seorang wakil PAS Johor menang kerusi DUN iaitu Najib Lep di Bukit Pasir.

DUN Johor dibubarkan semalam, selepas beberapa minggu spekulasi dan gesaan daripada pemimpin Umno bagi pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menandatangani watikah pembubaran DUN selepas menerima menghadap Menteri Besar Hasni Mohammad pada 5 petang semalam di Istana Bukit Serene.

PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN, bermaksud yang akan datang mungkin diadakan pada atau sebelum 23 Mac.