Pas terus giat serang institusi Raja, terkini giliran Mufti pula jadi sasaran

Pas terus giat serang institusi Raja, terkini giliran Mufti pula jadi sasaran

Belumpun reda dengan serangan Prediden Pas, Tan Sri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang terhadap Lembaga Pengampunan yang diketuai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Pas sekali lagi tampil memperlekeh institusi Mufti yang berkait rapat dengan Institusi Raja-Raja Melayu.

Ia susulan tulisan yang dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Zuhdi Marzuki bertujuan menyanggah kenyataan Mufti Pulau Pinang yang didakwanya menghina parti Pas.

Tulisan beliau dimuat naik menerusi akhbar dalam talian milik Pas, Harakahdaily kelmarin.

******

TIGA hari lalu Sohibus Samahah Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, telah menyuarakan bahawa Parti Islam (pada pemerhatian saya beliau merujuk kepada PAS) adalah ciptaan manusia, justeru parti tersebut tidak suci atau tidak mempunyai nilai sakral. Menurut beliau lagi, disebabkan parti itu tidak suci maka tidak mengikat seseorang Islam untuk menyokong parti tersebut. Dengan pengertian lain, tidak berdosa dan tidak menjadi kafir mereka yang tidak menyokong parti tersebut.

Menurut pemerhatian saya, kenyataan beliau seumpama ini boleh mengundang kekeliruan masyarakat Islam, yang menuntut beliau di kemudian hari menjernihkan kefahaman salah yang boleh timbul kesan daripada kenyataan beliau. Bukan semua institusi atau organisasi yang dicipta oleh manusia atau yang tidak wujud di zaman Rasulullah S.A.W dan para Sahabat R.A, institusi atau organisasi itu tidak mempunyai kaitan dengan ajaran Islam yang suci atau sakral.

Parti Islam sebagai sebuah organisasi yang bercita-cita untuk mendaulatkan Islam, sama juga seperti Institusi Mufti, kedua-duanya secara zahir tiada di zaman Rasulullah S.A.W dan para Sahabat R.A. Demikian juga, tiada dalil khusus daripada al-Quran dan al-Hadis yang memerintahkan supaya diwujudkan Institusi Mufti atau malah jawatan Mufti itu sendiri. Bagaimanapun, kewujudan Institusi Mufti adalah sesuatu yang ‘vital’ di dalam Islam dan mentaati fatwa yang dikeluarkan adalah wajib.

Saya teringat pada 2015, seorang sarjana Islam, Dr Tariq Ramadan, ketika berkunjung ke Malaysia, beliau menggelar masyarakat Islam yang mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh sesebuah Institusi Fatwa sebagai taksub. Menurut Tariq Ramadan lagi, masyarakat Islam perlu membangunkan pendapat sendiri. Sekiranya diteliti akar umbi pemikiran Tariq Ramadan ini, mempunyai persamaan dengan pandangan golongan liberal yang melihat Institusi Fatwa tiada autoritatif di dalam Islam.

Ketika Tariq Ramadan mengeluarkan pendapat sedemikian, PAS bersama NGOs dan NGIs Islam menyanggah kuat pendapat tersebut. Institusi Fatwa dan Mufti di dalam Islam mempunyai autoritatif untuk ditaati meskipun ia hanya wujud secara zahir beberapa ketika selepas berlalunya zaman Rasulullah S.A.W dan para Sahabat R.A. Masyarakat Islam jangan lupa, yang mengundang Tariq Ramadan ke Malaysia pada ketika itu ialah golongan yang kemudiannya bersama PH sehingga hari ini.

Secara tuntas, tiada dalil-dalil khusus yang memerintahkan kewujudan Institusi Mufti, tetapi ia tidak bermaksud kewujudan institusi tersebut tidak berasaskan dalil daripada al-Quran dan al-Hadis. Antara dalil dari al-Quran yang disandarkan oleh para ulamak mengenai Institusi Mufti ialah mengenai ketaatan kepada Ulul Amri dan perintah mengikut Ahlul Zikr. Manakala daripada al-Hadis pula ialah, Hadis mengenai pengutusan Muaz bin Jabal ke Yaman dan Hadis Abdullah bin Amr mengenai berfatwa tanpa ilmu.

Kesemua dalil daripada al-Quran dan al-Hadis tersebut menjadi sandaran yang kuat mengenai kewajipan mewujudkan Institusi Mufti di dalam masyarakat Islam. Kemudian para Fuqaha menggunakan sumber-sumber hukum yang lain termasuklah daripada Qawa’id Fiqhiyyah mengenai wajibnya diwujudkan Institusi Mufti dan dilantik seorang yang alim lagi faqih sebagai. Malah bukan setakat penubuhannya wajib, mentaati fatwa yang dikeluarkan juga menjadi kewajipan untuk ditaati.

Demikian juga kewujudan sebuah Parti Islam, meskipun secara zahir tidak wujud di zaman Rasulullah S.A.W dan para Sahabat R.A, juga tiada dalil-dalil khusus secara tuntas mengenai penubuhannya, bukan bermakna penubuhan Parti Islam tersebut tiada kaitan langsung dengan ajaran Islam yang suci atau sakral. Para ulamak yang menubuhkan organisasi Islam di zaman ini termasuk parti politik, menyandarkan penubuhannya kepada dalil-dalil yang tertentu juga daripada sumber-sumber hukum dalam Fiqh.

PAS sendiri ditubuhkan oleh para ulamak pada tahun 1951, dan yang turut terlibat dalam penubuhan PAS ketika itu ialah Mufti Pulau Pinang. Mereka yang menjadi pelopor awal PAS kemudiannya ada dari kalangan Mufti dan Kadi Besar di negeri-negeri tertentu. Sejak PAS ditubuhkan, PAS bertegas untuk mendaulatkan Islam di Malaysia, walaupun agenda perjuangan PAS langsung tidak popular ketika itu. PAS tidak pernah berundur mendaulatkan Islam, walaupun agenda itu popular atau tidak.

Mengenai hukum menyokong PAS seperti yang dibangkitkan oleh Mufti Pulau Pinang tiga hari lepas, ia bukan perkara baru. Sebagai seorang mufti, salah satu tanggungjawab beliau ialah mengkaji fatwa-fatwa ulamak yang lalu. Hukum mengenai menyokong parti Islam telah disebut oleh Shaykh Abdul Qadir al-Mandili (ulamak besar Melayu di Masjidil Haram bertaraf mufti) dan Sayyid Alwe Thahir al-Haddad (Mufti Johor), dipersilakan Mufti Pulau Pinang untuk mengulas pendirian mereka.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 25/8/2023