Pas tidak diundang sertai GRS di Sabah

Pas tidak diundang sertai GRS di Sabah

PAS Sabah akan bersemuka dengan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor susulan parti itu yang tidak tersenarai dalam gabungan berkenaan, menurut Setiausahanya Aliakbar Gulasan.

Katanya, PAS Sabah hanya mengetahui tidak berada dalam gabungan GRS menerusi laporan media dan disebabkan itu mereka mahu berjumpa dengan Hajiji bagi mendapatkan maklumat terperinci.

“Secara prinsipnya PAS Sabah dan semua komponen parti dalam GRS yang ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bersetuju dengan penubuhan GRS…namun bagi PAS Sabah, kita akan mengikut perkembangan terkini.

“Kita akan teliti semula semua keputusan yang akan kita buat kerana kita masih bersama dengan Perikatan Nasional (PN) dan kita tidak berpisah dengan Bersatu…cuma pendaftaran itu perlu kita dapatkan maklumat lanjut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Tukar Minyak Enjin PAS Sabah, di sini, hari ini.

GRS kini secara rasmi terdiri daripada Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah, sebelum ini dilaporkan berkata, kerjasama parti dalam GRS bersama PAS adalah melalui PN.

Aliakbar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik berkata, sejak awal penubuhan GRS, PAS Sabah telah memberikan lampu hijau kepada penubuhan gabungan berkenaan.

“Oleh sebab itu dari awal sebelum PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah kita mengambil keputusan tidak bertanding dan hanya akan menyokong calon GRS…kita tidak mahu guna kata disisihkan sebab kita tidak mahu ada perselisihan,” katanya.