Pas umum hanya mahu bertanding 1 kerusi di Sarawak
Selepas berteka teki jumlah kerusi yang akan dipertandingkan pada PRN Sarawak kali ini, akhirnya Pas membuat kejutan apabila mengumumkan hanya akan bertanding satu kerusi sahaja.
Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Pas akan hanya meletakkan seorang sahaja calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro.
Beliau berkata keputusan meletakkan seorang calon dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk situasi terkini COVID-19 dalam negara, seperti yang dilaporkan Astro Awani.
Calon tunggal parti itu ialah Setiausaha Pas negeri Mohammad Arifiriazul Paijo.
“Keputusan meletakkan hanya seorang calon pada PRN12 dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk situasi COVID-19 yang masih belum berakhir.
“Pas juga mahu memelihara hubungan di peringkat pusat dengan kerajaan pelbagai parti termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon Pas PRN12 Sarawak, hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan Pas Senator Khairil Nizam Khirudin dan Pesuruhjaya Pas Sarawak Jofri Jaraiee.
Mohammad Arifiriazul, 37, merupakan usahawan dan pernah bertanding di Lambir, satu daripada 11 kerusi yang ditandingi Pas pada PRN11.