Pasang ‘awning’ terus dapat dua parking, individu ‘renovate’ rumah flat jadi bualan netizen
Baru-baru ini, telah tular sebuah perkongsian di Facebook yang memaparkan sebuah rumah flat yang dipasang bumbung awning di bahagian hadapan rumah sehingga mengambil ruangan tapak parkir.
Secara tidak langsung, awning tersebut telah memberi isyarat yang menunjukkan bahawa dua tapak parkir berkenaan adalah milik penghuni rumah berkenaan.
Namun, dapat dilihat salah satu tapak parkirnya diletakkan sejumlah pasu bunga dan permainan kereta kanak-kanak manakala sebuah tapak parkir lagi dibiarkan kosong. Dipercayai, unit tersebut terletak di sebuah pangsapuri di Mantin, Negeri Sembilan
Seperti yang ramai sedia maklum kebiasaannya jika kita membeli rumah unit pangsapuri seperti ini, tapak parkir tidak akan disediakan dan penghuni boleh meletakkan kenderaan di mana-mana petak parkir yang ada secara bebas.
Walaubagaimanapun, amalan ‘cop parking’ ini sudah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat setempat dan boleh dikenakan tindakan.
Pengubah suaian rumah yang melampau juga boleh dikenakan tindakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jika ia menggangu jiran-jiran lain atau tidak mengikut spesifikasi yang ditentukan.
‘Cop parking’ boleh dikenakan tindakan
Sebagai info tambahan, budaya cop parkir ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengankutan Jalan 1987 kerana petak parkir itu adalah hak milik awam, bermaksud tiada siapa pun yang boleh mendesak atau menghalang orang lain dari menggunakan petak tersebut.
Tindakan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan seperti yang diperuntukan dalam Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Beli rumah percuma parking ke?” – Netizen
Rata-rata netizen di ruangan komen meluahkan rasa terkejut dan kesal dengan tindakan individu tersebut yang mengubah suai rumahnya serta ‘cop parking’ tanpa memikirkan orang lain.