Pasca PRN Melaka, hubungan Sulaiman-Rauf semakin panas

Pasca PRN Melaka, hubungan Sulaiman-Rauf semakin panas

Perkembangan seputar isu politik UMNO Melaka semakin berwarna warni. Pertembungan antara Rauf dan Sulaiman sudah bukan lagi menjadi rahsia umum. Akhbar The Star baru-baru ini dilaporkan berusaha merungkai permasalahan antara kedua-dua mereka.

Menurut akhbar berkenaan, ada kisah disebalik tindakan tergesa- gesa Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri yang baru pada 1 pagi Ahad (21 Nov) pagi itu.

Difahamkan, keputusan tergesa-gesa mengangkat sumpah dibuat selepas percubaan tidak dijangka oleh ADUN Tanjung Bidara yang baru dipilih Datuk Seri Rauf Yusoh (gambar) untuk menuntut jawatan ketua menteri.

Rauf dikatakan berusaha melobi pimpinan tertinggi UMNO melibatkan PM, Ismail Sabri, presiden parti, Zahid Hamidi dan penasihat BN, Najib Razak pada malam keputusan PRN Melaka diumumkan.

Malah mereka bersetuju bahawa BN tidak boleh kembali pada pilihan manifesto mereka menamakan Sulaiman untuk jawatan tertinggi itu.

Rauf, yang merupakan pengerusi Umno negeri, turut tidak hadir dalam majlis angkat sumpah Sulaiman di hadapan Gabenor Tun Mohd Ali Rustam.

Rauf ketika dihubungi berkata, terpulang kepada pihak berkenaan untuk menjelaskan mengapa beliau tidak hadir pada majlis angkat sumpah itu.

Beliau enggan mengulas sama ada beliau membuat bidaan saat akhir untuk jawatan ketua menteri tetapi berkata beliau tidak berniat untuk menggegarkan kerajaan baharu.

“Mengapa saya perlu menjatuhkan kerajaan yang saya bantu tubuhkan? Saya akan tolong Sulaiman, dia kawan saya. Saya akan berikan sokongan padu saya kepadanya,” kata Rauf.

“Saya mahu mengelak situasi di mana terdapat dua harimau di atas bukit. Saya mahu melihat gabungan yang baik supaya kita boleh bekerjasama untuk membawa Melaka ke hadapan,” tambah Rauf lagi.

Rauf adalah tokoh utama dan kontroversi dalam peristiwa yang membawa kepada pembubaran DUN.

Beliau bergelut untuk menewaskan calon Perikatan Nasional Datuk Mas Ermieyati Samsudin dengan hanya 364 undi, turun daripada majoriti 4,865 pada 2018.

Ditanya mengenai ketidakhadirannya dalam majlis angkat sumpah itu, dia menyerahkan kepada parti untuk menjawabnya.