‘PasLeak’, tumpuan terarah kepada Khairuddin Al Takiri

‘PasLeak’, tumpuan terarah kepada Khairuddin Al Takiri

Bekas Ahli Jawatankuasa Kerja dan setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali menjadi tumpuan hari ini selepas tersebarnya dokumen mesyuarat digelar ‘PasLeak’ baru-baru ini.

Ini berikutan pendedahan yang dibuat UMNO bahawa Perikatan Nasional sedang giat merancang ‘membalas dendam’ terhadap parti tersebut susulan hubungan tegang UMNO dengan Perikatan Nasional mutakhir ini.

Bekas Menteri Sawit itu sebelum ini bertindak keluar parti selepas didakwa kecewa dengan kepimpinan tertinggi parti yang bertindak membelakangkan keputusan parti dalam memandu hala tuju Pas bersama rakan gabungan.

Semalam, pemimpin dan veteran Umno menuntut penjelasan daripada Perikatan Nasional (PN) berhubung dakwaan dalam dokumen ‘bocor’ yang mendakwa terdapat gerak kerja pemimpin PAS untuk percaturan politik, yang antaranya menyentuh idea campur tangan dalam bidang kehakiman.

Desakan itu dibuat setelah muncul dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat yang merekodkan perbincangan mereka dengan pemimpin-pemimpin kanan Bersatu, serta bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad serta pemimpin Umno Hishammuddin Hussein.

Di pihak Bersatu, pertemuan didakwa dibuat dengan Menteri Kanan Azmin Ali dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Dokumen yang disebut sebagai “PASleak” itu antaranya menyebut tentang idea untuk mempercepatkan proses memenjarakan Presiden Umno Zahid Hamidi dan dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Sementara itu Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, mengambil sikap tunggu dan lihat jika ada penafian dibuat mana-mana pihak berkaitan berhubung political engagement dikaitkan dengan pemimpin sebuah parti politik.

Jelas Ahmad Zahid, dia menyerahkan kepada rakyat dan ahli Umno untuk menilai sendiri selain berserah kepada Allah atas apa yang berlaku.

“Saya berserah hanya kepada Allah, dan tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan-Nya yang Maha Agung lagi Maha Kuasa,” katanya.

Dalam kenyataan terkini, Pas melalui Naib Presidennya menganggap isu yang dibangkitkan UMNO itu sebagai isu sampah dan tidak harus dilayan.

Menurut Samsuri Mokhtar yang juga merupakan MB Terengganu itu meluahkan kehairanan kerana ada pihak yang percaya bahawa dokumen tersebut sebagai sesuatu yang benar.

“Dokumen sampah macam itu pun ada orang percaya juga? Saya buat gelak saja benda tu.

“(Dokumen berkenaan) tak benar, entah datang daripada mana entah dokumen tu. Benda sampahlah bagi saya,” katanya kepada media selepas menghadiri sebuah majlis di Kuala Terengganu hari ini.