Patutlah lagu raya viral sampai luar negara, rupanya ‘Alamak’ ada maksud sama dalam bahasa Jepun
Lagu nyanyian kumpulan De Fam yang berjudul Alamak Raya Lagi! telah berjaya mencetus fenomena sehingga menjadi siulan masyarakat termasuk di luar negara.
Membawakan tema Aidilfitri, lagu yang dilancarkan pada 7 Mac itu sering digunakan oleh pencipta kandungan sebagai muzik latar dalam hantaran mereka di media sosial.
Lagu yang menjadi ‘trend’ sohor kini terutamanya di platform TikTok itu turut dipakai oleh pengguna luar negara termasuklah dari Indonesia, Thailand dan Korea Selatan.
Terbaharu, pencipta kandungan dari Jepun berhasil mencuri perhatian ramai selepas menyertai ‘trend’ Alamak Raya Lagi! ini bersama tarian lincah yang menghiburkan.
Difahamkan, sekumpulan tiga penari Jepun tersebut adalah anggota popular daripada ‘Japan Dance Team’ yang dikenali ramai di negara itu sebagai ‘avantgardey’.
Rakaman tarian mereka dimuat naik di akaun Instagram dan penyanyi asal Alamak Raya Lagi! turut memberi komen berterima kasih kerana menggunakan lagu tersebut.
Mengundang perbincangan hangat, seorang pengguna platfrom X kemudian tampil berkongsi pendapat bahawa lirik ‘alamak’ telah menjadi punca lagu itu tular di Jepun.
Fun fact, orang jepun pun cakap "arama" dalam konteks sama orang malaysia cakap "alamak". Basically diorang faham la alamak ni. Fun kan https://t.co/rOY7hibZ9d
— A’amir (@budakkertas00) April 16, 2024
Pengguna yang dikenali sebagai Amir itu berkata, masyarakat berbangsa Jepun turut menggunakan perkataan tersebut di dalam konteks sama di dalam bahasa mereka.
Walau bagaimanapun, meskipun memiliki makna sama namun cara sebutannya di dalam bahasa Jepun adalah sedikit berbeza daripada masyarakat Malaysia iaitu ‘arama’.
“Fakta menarik, orang Jepun pun bercakap menggunakan perkataan ‘Arama’ dalam konteks sama yang bila rakyat Malaysia cakap ‘alamak’. Jadi, mereka faham maksud lagu ini,” katanya.