Patutlah miliki suara lunak persis qari Al-Quran, rupa-rupanya ulamak terkenal ini pernah menjadi guru mengaji P. Ramlee

Patutlah miliki suara lunak persis qari Al-Quran, rupa-rupanya ulamak terkenal ini pernah menjadi guru mengaji P. Ramlee

RAHSIA ILMU P. RAMLEE

Semasa P. Ramlee bersekolah di Penang Free School, beliau adalah seorang pelajar yang mempunyai tulisan paling cantik. Tidak kira tulisan itu dalam bentuk rumi atau jawi.

Kenyataan ini kita boleh rujuk kepada tandatangan P. Ramlee yang seringkali berubah-ubah dari satu gaya ke satu gaya lebih kreatif dan unik.

Menurut guru sekolah beliau iaitu Cikgu Hashim (bapa seniman Ahmad Daud), beliau sering meminta bantuan P. Ramlee untuk membawa buku sekolah murid-murid pulang ke rumahnya untuk disemak.

Apabila sampai di rumah, isteri Cikgu Hashim akan menjamu P. Ramlee makan tengahari bersama. P. Ramlee sentiasa senang hati makan tengahari di rumah gurunya dan tidak payah lagi beliau makan apabila pulang ke rumah.

Di zaman persekolahan P. Ramlee tidak suka membuang masa. Selepas makan tengahari beliau akan pergi belajar agama.

Menurut beberapa sumber sahih, P. Ramlee pernah menuntut ilmu agama dengan Syeikh Abdullah Fahim (datuk kepada mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi).

Beliau adalah seorang Ulama besar yang terkenal di zaman itu. Syeikh Abdullah Fahim adalah individu yang dirujuk oleh Tunku Abdul Rahman dalam menetapkan tarikh bagi hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kerana beliau mempunyai pengetahun yang tinggi dalam ilmu Falak.

Selain itu beliau juga cenderung mengajar agama berkaitan dengan ilmu Usuluddin, Fiqh, Tauhid, Tasawuf dan Al-Quran. Syeikh Abdullah Fahim juga merupakan pengasas Sekolah Agama Rakyat.

Difahamkan sebelum P. Ramlee berhijrah ke Singapura beliau sering bertalaqi dan menadah kitab menuntut ilmu Tauhid dan Tasawuf dengan Syeikh Abdullah Fahim.

Selepas selesai belajar agama, P. Ramlee akan membuat aktiviti sukan. P. Ramlee sangat gemar bermain sepak raga dan badminton bersama rakan-rakan sekolahnya.

P. Ramlee juga sangat aktif bersukan dan berpesatuan semasa di sekolah. Selepas selesai solat Isyak, P. Ramlee akan berlatih muzik bersama kumpulan pancaragam Sinar Bintang Sore.

Setelah beberapa lama bersama pancaragam itu beliau sertai pula pancaragam Teruna Sekampong sebagai pemain biola, penyanyi dan pencipta lagu.

Sebenarnya bakat seni P. Ramlee ini telah terlihat dari zaman beliau remaja. P. Ramlee juga pernah belajar bermain biola bersama dengan Cikgu Kamaruddin seorang guru biola terkenal di Pulau Pinang.

Apabila diadakan pertandingan menyanyi anjuran Radio Malaya pada tahun 1945, P. Ramlee telah mencuba nasibnya sebagai penyanyi.

Tetapi pada tahun itu P. Ramlee hanya mendapat tempat ketiga. Setelah tiga tahun mencuba akhirnya P. Ramlee berjaya mendapat johan pada tahun 1947.

Semenjak itu nama P. Ramlee dan pancaragam Teruna Sekampung telah mula dikenali di kawasan utara Malaya. Perkara ini telah membuatkan pengarah B.S Rajhans berminat akan bakat yang ada pada P. Ramlee sehingga meminta beliau ke Singapura seperti yang kita semua tahu.

Apabila P. Ramlee sampai ke Singapura, beliau banyak menuntut ilmu dengan beberapa orang guru dan tokoh muzik, antaranya ialah Zubir Said, Osman Ahmad, Yusof B dan Ahmad Jaafar.

P. Ramlee juga pernah balajar cara membuat ragaman muzik dengan Fred Libio dan LB Ventura dua orang komposer tekenal dari Filipina.

Moral dari kisah P. Ramlee yang kita dapat adalah dengan etika berguru. Kerana segala ilmu di dunia ini perlu ada guru. Bukan hanya sekadar menadah kitab tetapi ianya juga perlu bimbingan dan rujukan guru.

Seperti P. Ramlee kita tahu bahawa beliau sememangnya dianugerahkan bakat dari Allah, tetapi P. Ramlee juga berguru dan menuntut ilmu.

Cara terbaik dalam menuntut ilmu itu dipelajari dengan cara berguru dan menadah kitab daripadanya agar segala ilmu itu berkat dan bermanfaat.

Teks : HAR

Sumber :

Gagak Di-Rimba – Abdullah Hussain
Erti Yang Sakti – Tun Ahmad Sarji
P.Ramlee Dari Kacamata Aimi Jarr – Aimi Jarr
Temubual bersama Syeikh Ali (Abang P.Ramlee)

Kredit – Repair Gambar Lama