“Patutlah suami dah lama tak bagi nafkah, rupanya dia curang dengan cikgu KAFA”
Wanita manakah yang dapat memaafkan suami dengan begitu mudah selepas beberapa kali mengkhianati ikatan suci perkahwinan hanya kerana kehadiran orang ketiga.
Nekad menghadirkan diri ke pejabat agama, wanita yang dikenali sebagai Nadia itu mengakui pernah terfikir untuk bercerai dengan selepas suaminya beberapa kali berlaku curang.
Namun proses perpisahan yang mereka lalui begitu rumit sehingga Nadia membuat keputusan untuk memaafkan suami dan memperbaiki semula rumah tangga berusia enam tahun itu.
Masih berjuang untuk menyelamatkan perkahwinannya, berikut perkongsian Nadia mengenai episod hitam dalam kehidupan selepas suaminya berkenalan dengan seorang guru.
Aku Nadia. Suami aku Ahmad dan dia, Izzati (bukan nama sebenar kami). Aku sudah berkahwin enam tahun tetapi masih belum diberi rezeki anak. Aku pernah berbincang soal anak dengan suami, namun katanya dia masih belum bersedia menjadi seorang ayah. Beza umur kami enam tahun. Kami sudah sebelas tahun tinggal di Borneo.
“Aku kenal suami dari zaman universiti. Ketika itu, dia masih bergelar doktor pelatih. Kini kami berdua menetap di rumah sewa dengan seekor kucing. Aku pula suri rumah sepenuh masa dan mempunyai perniagaan kecil-kecilan. Suami ada beri wang, cuma tidak menentu. Ada bulan RM5,000, kadangkala RM500. Tak dapat beri pun pernah.
“Aku tak pernah tetapkan jumlah berapa nafkah suami harus beri. Lagipun sejak awal kahwin, suami amanahkan aku pegang kad akaun bank utama dia. Dia juga beri dua kad kredit untuk aku belanja. Tetapi suami akan mengaudit perbelanjaan kami setiap bulan. Jadinya, aku hanya perlu guna kad dia sahaja apabila perlu.
“Namun sejak suami naik pangkat dan perniagaan aku juga membaik, kami diuji pula dengan cabaran perkahwinan. Awalnya, tak berkira bila suami tak beri wang bulanan seperti biasa sebab aku juga ada duit sendiri. Hari makan minggu, minggu makan bulan. Tahu-tahu sudah setahun suami berhubung dengan wanita bernama Izzati.
“Mereka berkenalan di aplikasi Omi. Izzati seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di pedalaman. Dia ada kerja sampingan, jual biskut raya. Bapa Izzati juga seorang guru, mereka daripada keluarga yang agak susah. Rupanya, duit suami aku banyak didermakan kepada Izzati selama ini. Macam mana aku dapat info?
“Perempuan ini kalau nak tahu, sekejap sahaja. Lebih-lebih lagi firasat seorang isteri. Selain nombor pin akaun bank, kata laluan telefon dan sosial media suami juga aku tahu. Sebenarnya aku tak begitu terkejut sebab perkara ini sudahpun terjadi berulang kali. Kalau AA sebelas kali, suami aku selama enam tahun juga lebih kurang rasanya.
“Bukan Izzati seorang. Hidayah, Natasya, Amelia, Siti, sebut sahaja apa-apa nama. Orang mungkin akan kecam dan cakap aku bodoh. Ya, aku tidaklah bijak bab ini. Aku sayangkan suami dan masih rasa disayangi. Buktinya hubungan kami zahir dan batin masih baik. Nafkah zahir boleh dikatakan masih ada walaupun tak diberikan wang.
“Sebabnya aku masih pegang kad-kad suami. Hanya aku yang bodoh, jarang guna kad dia. Aset dan harta suami ada juga bahagian aku. Setiap kali pergi atau pulang kerja, kami masih peluk cium dan salam macam biasa. Kami juga bercuti di tempat yang istimewa setiap tahun. Dalam ramai-ramai, kenapa aku cerita tentang Izzati?
“Sebab Izzati wanita terkini yang paling tak putus asa mahukan suami aku. Selalulah ugut dengan ayat, jangan cari dia selagi tak ceraikan aku. Ya, dia minta suami untuk ceraikan aku. Dia jugalah yang aku dapat tahu, guna ilmu tak baik. Ini sisi gelapnya sesetengah orang Borneo pedalaman. Nanti mesti aku kena kecam kalau cerita.
“Kenapa tak bercerai? Aku sudah mencuba. Suami juga memberi kerjasama datang ke kaunseling semua. Tetapi dia tetap tak mahu lepaskan aku. Aku ada buat aduan gangguan rumah tangga di Jabatan Agama Negeri S****. Tetapi terkejut juga aku bila akta itu tak diguna pakai di kawasan ini. Proses bercerai pula susah dan panjang.
“Pegawai jabatan agama juga tak membantu. Selalu lewat datang waktu temujanji kami. Main telefon ketika sesi kaunseling pula. Banyaklah lagi halnya. Aku juga belum cukup sebab untuk tebus talak. Penyudahnya, kami masih berbaik dan macam orang yang baru bercinta semula. Macam-macam juga suami cuba untuk memujuk aku.
“Kenapa tak izinkan poligami? Mudahkan mulut orang sebut. Aku tak tolak poligami. Tetapi aku tak rela. Dari segi kewangan, memang suami mampu. Tetapi ada perkara yang aku tahu dia tak mampu. Kalau suami yang mahukan poligami, aku izin. Tetapi dengan melepaskan aku dahulu. Pergilah bersama kebahagiaan baharu dia.
“Kalau suami mahu poligami, sila teruskan dengan wanita lain. Aku tak mahu terlibat. Tetapi sekarang, suami yang memilih aku. Bukan aku sengaja merumitkan keadaan. Siapa lagi yang nak jaga aku kalau bukan diri sendiri. Macam mana aku tahu dia ada ilmu tak baik? Sebab sebulum bulan puasa baru ini, aku pulang ke kampung.
“Aku ziarah kubur arwah nenek sebab tiba-tiba mimpikan dia. Nak jadi cerita, rumah bapa saudara aku dekat sahaja. Jadi aku bersama suami dan mama singgahlah ke kediaman itu. Bapa saudara aku merupakan salah seorang imam masjid di kampung dan bekas perawat Islam. Sekarang anaknya pula yang sambung kerjaya itu.
“Pada awalnya, mama cuma minta pak cik mendoakan aku supaya diberikan zuriat keturunan. Pak cik periksa aku dan suami. Dari situlah pak cik dapat tahu ada belaan orang yang cuba laga-lagakan kami berdua. Pak cik hanyalah menyebut tempat asal makhluk itu. Aku mula mensyaki Izzati. Mungkin jugalah Hidayah. Wallahualam.
“Tetapi kami berdua berubat waktu itu juga. Pak cik berikan kepada kami air bacaan yasin dan doa-doa perubatan. Kami habiskan. Perubahan? Entahlah. Suami dengan aku baik-baik sahaja, seperti dahulu. Gaduh kecil biasa adalah. Tetapi kami kembali mesra dan manja seperti biasa. Perkara ini juga tak membuatkan aku terkejut.
“Sebab sewaktu di Borneo, aku juga pernah ditegur seorang wanita berusia di pasar. Mak cik itu suruh aku dan suami berubat sebab ada benda yang tak baik. Aku taklah berubat dengan mak cik itu. Tetapi aku pergi merujuk sendirilah ke sebuah pusat pengamal perubatan Islam tanpa suami. Ustaz itu juga cakap benda yang sama.
“Namun tak berubat juga dengan ustaz itu. Sebabnya rasa pelik apabila dia meminta bayaran sama harga dengan seekor kambing. Seolah-olah bayaran dam pula untuk seekor ‘benda’ yang dibuang. Ustaz itu cakap ada tiga ekor. Tetapi, semasa berubat dengan pak cik aku, dia cakap ada dua sahaja. Seekor lagi aku dapat dari jalan.
“Katanya, ‘dia’ hanya mengikut aku jalan-jalan. Aku serahkan duit ehsan raya sahaja kepada pak cik. Tidaklah sampai harga seekor kambing. Sejujurnya, aku sayangkan rumah tangga ini. Umur aku juga bukan muda lagi untuk mula dari awal. Aku penat. Banyak juga perancangan masa depan yang kami bayangkan, belum tercapai.
“Aku tak tahu sampai bila kena hadap perangai suami yang satu ini. Aku cuba baiki kekurangan. Suami juga dalam usaha memperbaiki kekurangan dia. Apabila hadapi sendiri baru faham. Bukan mudah nak bercerai. Kalau ada proses cerai yang mudah, itu mungkin sudah takdir pasangan berkenaan terhenti sampai situ sahaja.
“Aku masih sayangkan suami. Dia juga tetap sayangkan aku. Sebab itulah keputusan untuk bercerai, bukanlah mudah buat kami. Kalau ada yang cakap aku sedang siksa suami atau bertahan sebab nak hidup senang sahaja, itu tidak benar. Kepada tanpa suami juga aku mampu hidup selesa. Keluarga aku juga jenis berkemampuan.
“Aku juga tak menyiksa suami. Aku sudah memberikan suami pilihan dan dia memilih isterinya. Jadi aku macam mana lagi? Kenalah selamatkan rumah tangga. Doakan aku. Tak tahu berapa ramai lagi dekat luar sana yang tengah berjuang macam aku. Aku doakan kita kuat. Janganlah mudah suruh bercerai melainkan kalau sudah tenat.
“Boleh sakit dada kalau baca komen yang negatif. Aku doakan kamu semua tak diuji dengan pasangan seperti ini. Nak lepas, sudah ikat mati. Nak kerat, gunting tumpul. Kepada wanita yang belum berkahwin, ramai lagi jejaka bujang, kacak dan kaya di luar sana. Cuma mereka kurang berpengalaman sahaja.
“Sama-samalah cipta pengalaman itu. Janganlah tumpang pengalaman orang lain. Terima kasih sudi baca kisah aku. Nak tidur tetapo otak aku tengah ligat. Jadi aku kena buat otak letih dengan tulis seakan diari. Maaf jika penulisan agak kaku sebab kali pertama aku menulis seperti ini. Mana yang baik ambillah sebagai pengajaran.
“Mana yang mahu memberi nasihat, aku dahulukan dengan ucapan terima kasih. Mana yang tak suka janganlah kecam pula, aku sudahlah hati tisu.” Kongsi Nadia (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran dimuat naik di sebuah forum atas talian.