Pegawai kanan Sivakumar pula ditahan SPRM berhubung kes rasuah RM97 juta

Pegawai kanan Sivakumar pula ditahan SPRM berhubung kes rasuah RM97 juta

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Setiausaha Sulit kepada Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Penahanan yang dilakukan pada jam 2.30 pagi itu bagi membantu siasatan kes pengambilan pekerja asing membabitkan nilai RM97 juta selepas seorang pegawai tugas-tugas khas kepada Sivakumar direman semalam.

Difahamkan, suspek akan direman selama empat hari berakhir Isnin ini bagi siasatan lanjut kes terbabit.

Sumber berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan melakukan beberapa lagi tangkapan selepas ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut berhubung waktu dan lokasi tangkapan dibuat, selain tempoh reman terhadap pegawai terbabit.

Media semalam melaporkan, Sivakumar dan kementeriannya akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM berhubung penahanan seorang pegawai di pejabat menteri itu bersabit isu membawa masuk pekerja asing.

Sivakumar dalam kenyataan berkata, beliau maklum mengenai penahanan pegawai terbabit tetapi enggan mengulas pada masa ini kerana kes masih dalam siasatan.

“Saya berharap pihak media tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi yang boleh menjejaskan mana-mana pihak sehingga agensi siasatan yang berkenaan selesai,” katanya.

Semalam, SPRM menahan seorang pegawai kanan Sivakumar serta seorang ahli perniagaan dari Ipoh berkaitan kes rasuah membabitkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

Difahamkan, pada masa ini siasatan SPRM juga turut tertumpu kepada individu lain serta kementerian dan agensi berkaitannya.