Pegawai Muhyiddin dedah punca kenapa Hadi tiada maklumat perjanjian lantik TPM daripada Bersatu

Pegawai Muhyiddin dedah punca kenapa Hadi tiada maklumat perjanjian lantik TPM daripada Bersatu

Perjanjian untuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melantik seorang timbalan perdana menteri dari Bersatu disaksikan oleh seorang menteri dari Bersatu dan seorang menteri dari Umno, kata pegawai kepada Muhyiddin Yassin, mengesahkan tentang wujudnya perjanjian tersebut.

Marzuki Mohamad yang berkhidmat sebagai ketua setiausaha sulit ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri berkata, sudah dipersetujui bahawa perjanjian itu tidak boleh diterbitkan.

“Ia ditandatangani oleh Muhyiddin dan perdana menteri pada 17 Ogos 2021 dan disaksikan oleh seorang menteri dari parti Bersatu dan seorang menteri dari parti Umno,” katanya dalam satu kenyataan hari ini yang dilaporkan portal pro Azmin. MalaysiaNow.

“Sebagai pegawai perdana menteri ke-8 pada waktu itu, saya terlibat secara langsung dalam penyediaan perjanjian ini.”

Isu pelantikan jawatan timbalan perdana menteri timbul baru-baru ini selepas Muhyiddin yang juga pengerusi PN berkata, perkara itu dibangkitkan ketika pertemuannya dengan Ismail.

Menurut Muhyiddin, pertemuan tersebut turut membincangkan isu lantikan jawatan yang termaktub dalam perjanjian antara PN dan perdana menteri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa mengatakan tidak salah bagi Muhyiddin membangkitkan tentang perkara itu akan tetapi pelantikan timbalan perdana menteri dan anggota Kabinet adalah kuasa prerogatif perdana menteri.

Bagaimanapun penasihat ekonomi kepada perdana menteri Shahril Hamdan mengatakan tiada perjanjian antara Ismail dan Muhyiddin untuk melantik timbalan perdana menteri.

“Tiada perjanjian setahu saya. Kalau ada perjanjian kenapa sekarang baru kita dengar dakwaannya?

“Kalau ada, kenapa ada menteri-menteri kanan?” kata Shahril yang juga ketua penerangan Umno seperti dilaporkan media.

Untuk rekod, ketika masih menjadi perdana menteri, Muhyiddin melantik Ismail sebagai timbalan perdana menteri walaupun pada ketika itu terdapat menteri-menteri kanan.

Dalam kenyataannya hari ini, Marzuki berkata satu fasal dalam perjanjian ini menyebut  dokumen perjanjian tidak boleh diterbitkan atau dizahirkan dalam apa-apa bentuk.

“Ia hanya boleh disimpan untuk rujukan kedua-dua pihak,” katanya.