Pegawai PDIP dakwa Jokowi dan Gibran bukan lagi ahli parti

Pegawai PDIP dakwa Jokowi dan Gibran bukan lagi ahli parti

 

Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi dan anaknya, bakal naib presiden Gibran Rakabuming Raka, bukan lagi ahli parti terbesar negara itu selepas mereka menyokong calon pesaing yang juga pemenang pilihan raya Prabowo Subianto, menurut seorang pegawai parti pada Selasa.

Penyingkiran mereka akan memberikan tumpuan kepada langkah seterusnya terhadap sokongannya kepada Menteri Pertahanan, Prabowo yang ditafsir sebagai langkah untuk mengekalkan pengaruh politik dan legasinya selepas sedekad menerajui kepimpinan.

Ketua Bahagian Etika Parti Demokratik Perjuangan (PDIP), Komarudin Watubun, berkata Jokowi dan Gibran tidak dipecat tetapi tidak lagi menjadi ahli apabila mereka memutuskan untuk tidak menyokong calon presiden PDIP, Ganjar Pranowo.

Probowo sebelum ini menang dengan majoriti besar dalam pilihan raya yang berlangsung pada 14 Februari lalu dengan 58 berbaidng Ganjar yang hanya mendapat 16 peratus.

“Mereka memutuskan untuk berada di pihak yang bertentangan. Tidak kira apa pun yang berlaku, Jokowi mencapai tahap kerjaya tertinggi dalam parti, beliau sudah menjadi presiden. Kami mahu menjaga maruah beliau,” kata Komaruddin.

Pejabat Presiden tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan ulasan berkaitan hal berkenaan.

Jokowi menyertai PDIP pada 2004 untuk bertanding sebagai Datuk Bandar Surakarta dan memegang jawatan itu selama dua penggal.

Beliau kemudiannya dipilih sebagai gabenor Jakarta dan menjadi Presiden selama dua penggal dengan sokongan PDIP.

Gibran juga pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Surakarta sejak 2020.

Sokongan Jokowi terhadap Prabowo menimbulkan ketegangan antara beliau dan PDIP yang kekal sebagai parti terbesar di Parlimen selepas pilihan raya.

Jokowi masih belum membincangkan rancangan politiknya tetapi menurut beberapa sumber, beliau mahu mengambil alih parti kedua terbesar, Golkar, iaitu satu langkah yang boleh menyaksikan beliau mengekalkan pengaruhnya dan berpotensi mengimbangi pesaing lama Prabowo apabila beliau memegang jawatan pada Oktober.

Gabungan semasa Prabowo terdiri daripada 48 peratus kerusi dan ada pihak berkata beliau berhasrat untuk mengembangkannya untuk menguasai majoriti.

Beberapa parti, seperti Nasdem, yang menyokong calon lain, turut mengadakan perbincangan dengan Prabowo.

Spekulasi turut bertiup kencang bahawa pengerusi PDIP, Megawati Sukarnoputri, akan bertemu Prabowo tidak lama lagi untuk berbincang menyertai gabungannya di tengah-tengah perpecahan yang berterusan dengan Jokowi.