Pegawai polis tengking anggota bawahan didakwa dalam proses dibuang kerja

Tindakan seorang pegawai kanan polis yang menengking anggota bawahan berpangkat Lans Koperal dalam video tular semalam, mengundang banyak kecaman netizen di media sosial.
Menurut maklumat yang dikongsikan, pegawai berkenaan dikatakan sedang dalam permerhatian Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan dalam proses untuk dibuang kerja. Namun tidak dinyatakan butiran lanjut.
Sementara itu, netizen berjaya mengesan akaun Facebook wanita terbabit dan mula membanjiri ruangan komen di beberapa hantaran terakhir dengan ucapan ‘selamat bersara’.
Terdahulu, dua anggota polis peronda membuat laporan berhubung tindakan wanita berkenaan yang menengking dan mempersenda mereka hanya kerana berpangkat rendah dan dirasakan tidak layak mengambil tindakan terhadapnya.
Sedangkan, dua anggota polis itu hanya datang dan melaksanakan tugas mereka selepas menerima panggilan daripada pusat kawalan IPD Gombak mengenai aduan orang awam yang mendakwa wanita itu menyamar sebagai polis.
Perbuatan pegawai kanan itu juga dikatakan telah menimbulkan persepsi negatif terhadap mereka. Kesal dengan apa yang berlaku, anggota berkenaan tampil membuat laporan polis agar wanita itu disiasat oleh JIPS, IPD Gombak dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).