Peguam bagi amaran, sesiapa yang fitnah Timbalan Ketua Polis Negara akan disaman

Peguam bagi amaran, sesiapa yang fitnah Timbalan Ketua Polis Negara akan disaman

 

Peguam yang mewakili Timbalan Ketua Polis Thailand, Jeneral Surachate Hakparn mengancam menyaman mana-mana individu atau media yang menyatakan atau membayangkan anak guamnya terbabit perniagaan perjudian dalam talian haram.

Anantachai Chaidet berkata beliau akan mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan bagi meminta siasatan terhadap kesahihan penggeledahan rumah Surachate oleh pegawai pasukan petugas siber dan penahanan lapan pegawai polis pada Isnin.

Memetik laporan Thai PBS World, beliau menasihatkan wartawan menyemak semula ketepatan laporan dan kredibiliti sumber sebelum menyiarkan berita itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Hal Ehwal Undang-Undang dan Litigasi Polis Diraja Thai, Leftenan Jeneral Trairong Piewpan, memberitahu media beliau tidak bimbang mengenai ancaman litigasi dibuat peguam Surachate.

Beliau menegaskan pegawai pasukan petugas siber yang menjalankan pemeriksaan di rumah Surachate, yang terletak di belakang Kelab Polis, dan penahanan orang bawahannya dilakukan mengikut prosedur dan undang-undang.

Katanya, siasatan terhadap perjudian dalam talian platform “betblinkroyal.com” bermula beberapa bulan lalu, berikutan penahanan Pongsiri Tarachawongsuk, pemilik Kelab Bola Sepak Phayao Warrior, yang didakwa menjalankan perniagaan perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram.

Trairong menjelaskan pangkat polis tidak dinyatakan dalam waran untuk penahanan lapan pegawai itu, hanya merujuk kepada mereka dengan panggilan “Encik”, kerana ia tidak diperlukan di sisi undang-undang dan bagi melindungi maruah mereka.

Sementara itu, Surachate mencabar kesahihan polis menggeledah rumahnya, dengan menyatakan waran geledah mesti menyatakan dengan jelas apa yang dicari dan masanya.

Rumah yang dimaksudkan sebenarnya adalah milik hartawan pengangkutan di Udon Thani, tetapi disewakan kepada Surachate untuk orang bawahannya.

Surachate adalah seorang daripada empat timbalan ketua polis negara yang akan menjadi ketua polis baharu, menggantikan Jeneral Damrongsak Kittipraphat apabila beliau bersara pada akhir bulan ini.