Peguam gambarkan memo sokongan 3 timbalan Azam Baki tindakan terdesak

Peguam gambarkan memo sokongan 3 timbalan Azam Baki tindakan terdesak

KEWAJARAN MEMORANDUM SOKONGAN KEPADA KETUA PESURUHJAYA SPRM

Rakyat Malaysia pasti tertanya-tanya apakah kewajaran 3 Timbalan Ketua Pesuruhjaya mengeluarkan Memorandum Sokongan ini dalam keadaan Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri membuat pengakuan terhadap penggunaan akaun saham miliknya yang boleh menjadi satu kesalahan di bawah Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 dan juga boleh menjadi satu kesalahan disiplin di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2002.

Apakah kewajaran membuat kenyataan bahawa ianya satu tohmahan dan serangan bermotifkan politik dendam?

Kenyataan sebegini pada hari cuti Ahad menimbulkan banyak lagi persoalan kepada rakyat. Siapakah pula yang berdendam terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM? Adakah ianya orang dalam SPRM sendiri? Atau orang politik? Atau musuh peribadi? Atau musuh SPRM seperti orang yang dizalimi, yang sepatutnya tiada kes tetapi dibuat aduan kepada SPRM dan SPRM pula menggunakan kuasa untuk menyiasat orang itu walaupun tiada kes?

Tambahan pula, dikatakan bahawa tiada badan bebas yang akan menyiasat Ketua Pesuruhjaya SPRM tetapi kes ini akan disiasat secara dalaman oleh SPRM sendiri. Bagaimanakah rakyat akan melihat Ketua SPRM disiasat oleh SPRM sendiri. Tidakkah ini akan menimbulkan keraguan terhadap ketelusan siasatan itu sendiri. Apatah lagi 3 orang kanan Ketua Pesuruhjaya sendiri telah membuat memorandum pembelaan terhadap ketua mereka sendiri.

Tidakkah S. 25A Akta 453 ini secara prima facie meletakkan beban kepada Ketua Pesuruhjaya itu untuk memberikan penjelasan bagaimanakah akaun saham beliau digunakan oleh pihak lain?

Tidakkah S. 29A itu memberikan anggapan bahawa transaksi saham itu dibuat olehnya atau penama yang dibenarkan. Benarkah wujud pengisytiharan penama itu atau bolehkah pengisythiaran itu dibuat secara kebelakang (backdated)?

Lebih afdal sekiranya orang kanan SPRM ini memberikan penjelasan mengenai hal ini berbanding dengan membuat teori konspirasi bahawa ada isu ‘politik dendam’.