Peguam Syarie jelaskan isu rumah yang dimiliki Shila Amzah bukanlah harta pusaka kerana penyanyi itu masih hidup
Peguam Syarie terkemuka, Datuk Akberdin Abdul Kadir menjelaskan bahawa rumah yang dimiliki Shila Amzah bukanlah harta pusaka ekoran penyanyi itu masih hidup.
Menyita perhatian ramai, perkara tersebut dijelaskan oleh peguam berkenaan ketika diminta mengulas isu itu saat dihubungi sebuah portal berita hiburan atas talian.
Datuk Akberdin menegaskan bahawa aset berharga seseorang itu hanya akan diwarisi dan menjadi harta pusaka sekiranya pemiliknya sudah meninggal dunia.
Walau bagaimanapun, harta-harta berkenaan cuma boleh dibahagikan mengikut faraid sekiranya semua urusan berkaitan si mati seperti hutang, telah diselesaikan.
Oleh yang demikian, pemilik harta disarankan untuk membuat wasiat terlebih dahulu agar masalah yang lebih besar tidak akan timbul di kemudian hari, lapor Mstar.
“Harta seseorang hanya akan menjadi pusaka selepas pemiliknya meninggal dunia namun mereka boleh membuat wasiat bagi mengelakkan masalah lebih besar.
“Harta-harta berkenaan hanya boleh dibahagikan mengikut faraid selepas waris menyelesaikan semua perkara berkaitan si mati termasuk selepas menolak hutang, wasiat, badal haji dan sebagainya.
“Tetapi kalau pemiliknya masih hidup, (harta) tidak boleh dianggap sebagai pusaka termasuk rumah,” jelas peguam berkenaan memetik laporan Mstar.
Menurut Akberdin, pemilik berhak melakukan apa sahaja terhadap segala harta yang mereka miliki selagi masih hidup termasuklah menjualnya kepada orang lain.
Oleh kerana harta itu masih di atas namanya, pemilik juga boleh menyerahkan atau menghibahkannya kepada sesiapa yang dingini ketika mereka masih lagi hidup.
Mengulas isu mengenai keluarga Shila Amzah, Akberdin berkata adiknya iaitu Amir Syafiq, Amir Syahir dan Syada Amzah tidak tersenarai sebagai waris mengikut faraid.
Hal ini kerana, Shila mempunyai seorang anak lelaki sekaligus sebagai waris Asabah iaitu waris yang berhak mendapat harta pusaka tanpa ditetapkan bahagiannya.
“Anaknya merupakan waris Asabah. Selain anak lelaki, suami (Ubai) dan ibu bapa (Datuk ND Lala dan Fauziah Sarman) juga layak menerima sebahagian daripada harta pusaka yang ditinggalkan.
“Adik-beradik tidak tersenarai disebabkan Shila mempunyai anak lelaki. Jadi ibu bapa (sekiranya berlaku kematian) hanya dapat 1/6 manakala suami 1/4 dan selebihnya milik anak lelaki.” Ulas peguam itu.