Peja nafi Bersatu cuba sabotaj Ismail

Peja nafi Bersatu cuba sabotaj Ismail

Perikatan Nasional (PN) tidak akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meskipun berlaku pertembungan calon dengan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November depan.

Menurut Sinar Harian, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pada pandangan PN, pentadbiran kerajaan ketika ini berjalan dengan lancar menepati semangat Keluarga Malaysia yang mengetengahkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Tidak terfikir dan terlintas pun di fikiran kami (tarik sokongan kepada Perdana Menteri) kerana kita nampak kerajaan sedang berjalan dengan baik, malah gagasan Keluarga Malaysia sedang diusahakan dengan meriah.

“Kita lihat everything going very well, Insya-ALLAH kita akan teruskan dan mohon ALLAH SWT permudahkan urusan kita,” katanya kepada pemberita ketika hadir dalam program Senamrobik Perdana Peja Trofi 2021 di Padang Bola Sepak Lintau, Manjoi di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menegaskan, paling penting bagi PN adalah untuk memastikan undi orang Melayu tidak pecah selain penubuhan kerajaan baharu Melaka nanti ditadbir dalam kalangan mereka yang benar-benar mahu memberikan khidmat kepada rakyat dan bukannya mementingkan kepentingan sendiri.

“Saya berpandangan mana-mana pihak yang berhasrat untuk memecahkan undi orang Melayu mempunyai niat yang tidak baik.