Peja nafi kenyataan Zahidi mahu ambil semula semua kerusi UMNO
Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menafikan parti itu berdepan masalah dalam rundingan pembahagian kerusi dengan Umno.
Faizal juga menyangkal laporan bahawa Umno mahu BN bertanding di semua kerusi yang dimenangi gabungan itu pada PRU14.
“Saya berada dalam jawatankuasa rundingan di kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan perkara itu tak jadi masalah bagi kita.
“Kita sedang berbincang dengan begitu baik dan hubungan antara parti tiada masalah,” katanya ketika ditemui pemberita dalam acara sambutan ulang tahun keempat Bersatu di Kuala Lumpur, malam tadi.
Pada bulan lalu, Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Zahidi Zainul Abidin berkata parti itu ingin mengambil semula kerusi-kerusi yang mana ahli parlimennya berpaling tadah selepas PRU14.
“Kerusi-kerusi yang BN menang dulu yang melompat, maka kita ambil balik. Itu keputusan MT, bukan keputusan presiden.
“Maka kita tak akan bagi satu kerusi pun kepada Bersatu. Itu sudah pastilah. Jadi kalau Bersatu nak, maka dia bertandinglah di kerusi-kerusi yang lain,” katanya dalam video di portal berita Suara TV, 25 Ogos lalu.
Menurut Zahidi lagi, BN juga memutuskan untuk bertanding di kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya lalu dan kalah, tetapi berjaya memperoleh jumlah undi kedua terbanyak.
Keputusan itu dijangka meletakkan Bersatu dalam kedudukan sukar, kerana 15 daripada 31 kerusi Parlimen yang dimilikinya pada masa ini adalah daripada kalangan yang menang dengan tiket BN sebelum melompat ke parti itu.
Sepuluh daripadanya pula dimenangi dengan tiket PKR, di mana calon BN mendapat undian kedua terbanyak.
Sumber : Malaysiakini