Peja tampil pertahan kehadiran Kazim ke program anjuran PN

Peja tampil pertahan kehadiran Kazim ke program anjuran PN

Kehadiran pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias ke program Kenduri Rakyat Aidiladha Perikatan Nasional (PN) tiada kaitan dengan politik.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Mohd Kazim hadir sebagai tetamu biasa berikutan tinggal berhampiran.

“Kehadiran beliau ke majlis ini tiada makna apa-apa, malah ramai lagi ketua-ketua cawangan dan ahli dari parti lain seperti UMNO, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pejuang Tanah Air, Parti Warisan malah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pun ada hadir.

“Ini adalah kenduri rakyat dan kita sambut hari raya dengan berkumpul rakan-rakan. Sebenarnya rumah beliau di hadapan tapak program ini, maka beliau hadir sebagai menghormati tetamu termasuk Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya ketika ditemui pada Kenduri Rakyat Aidiladha PN di Manjoi di sini pada Isnin.

Menurutnya, sikap Mohd Kazim atau dikenali Ustaz Kazim meraikan majlis yang diadakan jiran berhampiran wajar dicontohi.