Pekerja dipecat majikan kerana habiskan masa 6 jam sehari dalam tandas
Seorang lelaki yang mengalami masalah kesihatan dipecat oleh majikannya kerana telah menghabiskan masa enam jam sehari di dalam tandas.
Keputusan berpihak kepada majikan
Memetik laporan South China Morning Post, lelaki itu dikenali sebagai Wang dan telah bekerja di salah sebuah syarikat di Beijing, China sejak 2006.
Pada 2014, dia telah menjalani pembedahan masalah anorektal, bagaimanapun dia mengalami kesakitan yang berterusan sehingga perlu menghabiskan masa tiga hingga enam jam setiap hari di dalam tandas sejak 2015.
Berdasarkan rekod syarikat, antara 7 September dan 17 September 2015, Wang ke tandas sebanyak 22 kali dan mengambil masa kira-kira 47 minit hingga 196 minit.
Susulan itu, dia telah ditamatkan kontrak oleh syarikat tersebut pada September 2015 dan majikannya memetik peruntukan dalam buku panduan pekerja mengenai kelewatan, keluar awal dan ketidakhadiran tanpa kebenaran.
Wang kemudian memfailkan timbang tara untuk mendapatkan semula pekerjaannya namun mahkamah mendapati dia melangkaui keperluan fisiologi yang munasabah dan pemecatannya di syarikat tersebut adalah sah dan wajar.
Rentetan itu, dia tidak berjaya mendapatkan kembali pekerjaannya.
Kes tersebut juga telah menjadi perdebatan hebat dalam kalangan pengguna media sosial di China.