Pekerja pelantar minyak ceria pulang sambut lebaran

Pekerja pelantar minyak ceria pulang sambut lebaran

 

Mohd Shukeri Mohd. Noor, 35, teruja untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri buat pertama kali bersama keluarga tercinta selepas dua tahun berjauhan pada pagi 1 Syawal.

Pada tahun lalu, juruteknik pengeluaran Petronas tersebut terpaksa beraya di tengah sa­mudera lantaran tuntutan tugas di pelantar minyak di Laut China Selatan.

Setahun sebelum itu, beliau yang berasal dari Manir, Kuala Terengganu terpaksa menyambut 1 Syawal di bilik sebuah hotel di bandar raya ini ekoran perlu dikuarantin sebelum menjalankan tugas di pelantar luar pesisir ekoran prosedur penjagaan kendiri pandemik Covid-19.

Shukeri berkata, setelah dua tahun menunggu, akhirnya tahun ini dia dapat beraya bersama isteri, Noradilla Ismail, 30, dan tiga anak berusia antara tiga hingga tujuh tahun.

Tambahnya, walaupun kebaji­kan pekerja luar pesisir yang bertugas di pelantar minyak pada pagi raya amat terjaga dengan pelbagai aktiviti dan makanan enak, namun suasananya tidak sama seperti menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

“Tidak sabar untuk menjamah nasi dagang dan ketupat palas air tangan isteri sendiri pada pagi raya,” katanya ketika ditemui sewaktu mendarat di Kuala Terengganu Support Base (KTSB) yang terletak di muara Sungai Terengganu baru-baru ini.

Beroperasi sejak 1 Januari lalu, KTSB berfungsi sebagai hab pertukaran kru bagi industri minyak dan gas di sekitar perairan Semenanjung Malaysia.

Shukeri bersama 70 pekerja luar pesisir lain, pulang menaiki dua kapal pengangkut dari pelantar minyak Dulang yang terletak kira-kira 130 kilometer dari Kuala Terengganu. Mereka menggunakan kemudahan KTSB untuk pulang ke kampung halaman selama dua minggu bagi menyambut hari lebaran bersama keluarga masing-masing pada hari tersebut.

“Perjalanan dari pelantar minyak ke KTSB memakan masa kira-kira tiga jam setengah.

“Ia lebih menjimatkan masa berbanding sebelum ini sewaktu kami mendarat di Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB) yang memakan masa lebih lima jam,” katanya.

Tambah Shukeri, lokasi KTSB juga strategik hampir dengan pusat bandar raya Kuala Terengganu dan berdekatan dengan pelbagai kemudahan seperti hotel, stesen bas dan lapangan terbang memudahkan rakan-rakan beliau lain yang ingin pulang ke kampung masing-masing.

Shukeri, yang telah berkhidmat di pelantar minyak Petronas sejak 10 tahun lalu berkata, fasiliti pendaratan disediakan KTSB dikendalikan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) itu selesa dan memuaskan.

“Sebaik turun dari kapal pengangkut, kami akan menjalani pemeriksaan imigresen sebelum mengambil bagasi yang diuruskan sepenuh oleh kru KTSB.

“Memandangkan kami baru sahaja tiba dari luar pesisir, kami perlu menjalani pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebelum melalui pemeriksaan imbasan fizikal,” katanya.

Shukeri memberitahu, ini adalah kali kedua dia menggunakan perkhidmatan KTSB untuk pergi dan pulang ke pelantar minyak sejak ia mula beroperasi bermula bulan Januari lalu.

Dia yang akan pulang beraya di kampung halaman isterinya di Kuala Berang, Hulu Terengganu amat berpuas hati dengan per­khidmatan yang diterima beliau di KTSB.

KTSB adalah salah satu komponen utama di bawah projek pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Kompleks KTSB tersebut dilengkapi jeti pendaratan, kaunter imigresen lengkap dengan mesin pengimbas, surau dan ruang taklimat buat pekerja luar pesisir syarikat minyak dan gas termasuk Petronas.

Setiap hari, purata lima kapal pengangkut yang membawa kira-kira 320 pekerja luar pesisir menggunakan perkhidmatan KTSB.