Pelajar Form 2 tayang tumbler RM1,800 depan kereta Porsche, dedah dah biasa beli barangan mewah

Pelajar Form 2 tayang tumbler RM1,800 depan kereta Porsche, dedah dah biasa beli barangan mewah

 

WALAUPUN menjual sebiji cawan atau bekas minuman pada harga agak mahal, tetapi rangkaian kopi terkenal, Starbucks masih mempunyai pengikut setia yang sentiasa membeli koleksi barangnya.

Barangan ini biasanya dijual mengikut edisi tertentu dengan corak yang menarik sekali gus membuatkan peminatnya tidak kisah mengeluarkan jumlah wang yang banyak untuk membeli.

Tular di TikTok rakaman seorang remaja perempuan yang memiliki bekas minuman jenama kopi itu yang dibeli pada harga RM1,800 dan membawanya ke sekolah.

@putriluthfiya_

Rasa dia macam menyesal je beli mahal2 sebab air tu tak boleh turunkan berat badan piya 🤣 saka kurus dari #bebycurf je boleh turunkan berat badan piya, kalau korang nak turunkan berat badan boleh tekan link dekat bio piya ye 😘 #fyp #fypgakni #tumblerrhinestones #jutawanmuda #jomkurus

♬ suara asli – xhanxNvall🔥🐝 – XhanxNvall🔥🐝

“Bawa tumbler RM2.50 ke sekolah, tidak. Bawa tumbler RM1,800 ke sekolah, ya,” tulisnya pada video tersebut, menunjukkan dirinya sedang berdiri di depan kereta Porsche dan minum air dari tumbler tersebut.
 

Di ruangan kapsyen, dia menulis: “Mula-mula air rasa sedap bila minum dengan tumbler ni. Akhirnya baru rasa menyesal pula beli mahal-mahal, satu botol sahaja. Macam kena beli lagi je.”

Tindakan remaja berusia 14 tahun itu telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen sehingga ada yang membocorkan harga sebenar gelas itu di bahagian komen.

“RM450 sahaja harga tumbler ni masa saya beli.

“RM450 sahaja! Jangan nak gula-gulakan (tipu) akak yang suka dengan Starbucks ni adik.

“Bukan harga RM400 sahaja ke? Ke saya beli waktu Starbucks buat jualan murah?” demikian antara komen netizen.

Difahamkan bekas minuman yang menjadi perbualan hangat itu adalah edisi keluaran tahun 2021 yang didatangkan dengan corak permata merah.

Menjawab kepada tohmahan netizen, Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mohd Mustamam atau lebih mesra disapa Piya, berkata, gelas Starbucks yang dibeli daripada seorang pembeli peribadi (personal shopper) sememangnya berharga RM1,800.

Bergelar pelajar dan pengasas produk kesihatan, remaja ini berkata dia tidak kisah berbelanja barangan mahal kerana wang yang digunakan adalah hasil titik peluhnya sendiri.

“Tumbler tu memang harga RM1,800 sebab edisi 2021, tapi Piya baru beli tahun 2023 dengan seorang personal shopper. Masa tu hanya ada lima buah sahaja tumbler sama yang dijual di Starbucks.

“Piya beli sebab minat dan rasa nak sangat dengan tumbler tu, jadi beli sajalah walaupun pembeli peribadi tu naikkan harga sampai RM1,800. Selain yang warna merah ni, Piya ada juga tumbler edisi lain, macam tahun 2022 warna ungu dan dibeli pada harga RM500.

“Lagipun guna duit sendiri hasil perniagaan, tak pernah minta duit daripada mummy atau papa untuk beli,” katanya ketika dihubungi mStar.

Ibu bapa tidak pernah menghalang Piya untuk beli barangan mewah.

Mengulas lanjut mengenai video tular itu, Piya memberitahu bahawa ibu bapanya mengetahui tentang perkara itu dan tidak pernah menghalangnya untuk membeli barangan mahal kerana ia sudah jadi satu kebiasaan buat dirinya.

Malah, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan, ini turut meluahkan rasa bangga apabila menggunakan wang hasil perniagaannya untuk membawa keluarga ke Makkah bagi menunaikan umrah bersama.

“Piya ada bagitahu parents, tapi mummy dan papa okay sahaja sebab dah biasa beli barang-barang mahal. Ini bukan kali pertama beli barang dengan harga macam tu.

“Dah lama Piya teringin nak pergi Makkah dan Alhamdulillah selepas ambil alih bisnes mummy tak sangka pula pada umur 14 tahun dah boleh bawa keluarga tunai umrah sama-sama.

“Balik dari Makkah, Alhamdulillah perniagaan semakin baik. Masa tu jugalah ternampak pembeli peribadi dalam TikTok promosikan gelas tu. Tanpa fikir panjang, saya mesej dia tanya harga dan terus beli sebab ada pendapatan sendiri,” ujarnya lagi.

Piya bangga dapat bawa keluarga tunai umrah bersama-sama

Video yang dimuat naik di TikTok tersebut meraih hampir 2 juta tontonan dan mendapat kecaman hebat daripada netizen pada ruangan komen.

Piya berkata tindakan netizen yang mencari salahnya tidak memberi impak selain membantu mengembangkan lagi perniagaannya.

“Terkejut juga sebab buat tu hanya suka-suka sahaja. Selalunya muat naik posting berniaga sahaja. Waktu itu tak ada bahan yang nak kaitkan dengan perniagaan, jadi muat naik video tumbler tu.

“Saya tak rasa apa-apa pun sebab memang betul harga RM1,800. Harga yang netizen beli tu tahun 2021 iaitu RM400. Piya beli ni dah tahun 2023 dan waktu itu pun cuma tinggal lima unit sahaja di Starbucks.

“Piya tak bermaksud nak riyak pun sebab hanya untuk konten sahaja. Tak sangka ramai netizen anggap benda itu serius. Saya nak ucap terima kasih kepada yang kecam sebab tanpa mereka, video Piya pun tak mungkin akan viral,” ujarnya lagi.