Pelajar IPT buat servis sewa boyfriend online, raih pendapatan lumayan setiap bulan

Pelajar IPT buat servis sewa boyfriend online, raih pendapatan lumayan setiap bulan

 

Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) telah menyita perhatian ramai baru-baru ini selepas mendedahkan pendapatan bulanan yang berjaya diraihnya.

Mana tidaknya, penuntut IPT swasta yang masih muda itu telah berhasil memperoleh keuntungan sebanyak RM30,000 sebulan tanpa membuat sebarang kerja berat.

Tular di media sosial, pemuda yang tinggal di kawasan Lembah Klang itu rupa-rupanya menawarkan perkhidmatan unik iaitu menjadi teman lelaki sewaan.

Antara servis yang ditawarkan oleh lelaki dikenali sebagai Haziq itu adalah bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur menaiki motosikal Yamaha NVX dengan bayaran RM169.

Haziq juga menyediakan servis menghantar bunga pada hari graduasi dengan harga RM139, menghantar makanan (RM89), panggilan video (RM6) dan banyak lagi.

Menerusi video yang dimuat naik di laman Tik Tok, Haziq turut menyenaraikan ciri-ciri dirinya untuk makluman pelanggan seperti paras ketinggian dan warna kulit.

Walaupun berkongsi gambar-gambar yang menampilkan otot badannya, Haziq menegaskan bahawa kegiatannya itu jauh daripada unsur-unsur seksual dan pornografi.

Memetik laporan mStar, Haziq mengakui mula menawarkann servis tersebut bagi menanggung kos pengajian di IPT swasta, perbelanjaan harian, dan sewa rumah.

Haziq mula mendapat idea untuk menjalankan ‘perniagaan’ itu selepas mendapati dirinya sentiasa menjadi perhatian ramai termasuk pelajar di kolej dan tempat awam.

“Saya menawarkan servis teman lelaki online dan idea ini datang secara tiba-tiba sebab saya masih belajar dan merupakan antara penuntut yang popular di kolej.

“Apabila saya fikir semula, kalau seorang bagi RM1, contact sahaja (kenalan) ada 8k (8,000) lebih. Dah boleh buat banyak duit,” ujarnya yang baru berusia 23 tahun.

Mula menawarkan perkhidmatan tersebut pada tahun lepas, pelajar IPT itu mampu memperoleh pendapatan lumayan lebih RM50,000 dalam masa dua bulan.

Sementara itu, pembaca perlu diingatkan bahawa pekerjaan yang dilakukan Haziq adalah haram kerana ia adalah perkara yang membawa dan menyumbang kepada perbuatan haram.

Pendapat itu dijelaskan Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff.

“Perbuatan mengambil upah atau bekerja sebagai pelayan perempuan secara dalam talian atau fizikal dilarang dalam Islam. Layanan dimaksudkan adalah nafsu dan hiburan, yang boleh membawa kepada zina.” Katanya.