Pelajar IPT dicekup berkhalwat, lelaki beri alasan datang untuk baiki paip air tersumbat di rumah sewa kekasih

Pelajar IPT dicekup berkhalwat, lelaki beri alasan datang untuk baiki paip air tersumbat di rumah sewa kekasih

 

Isnin lalu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah menahan sepasang kekasih yang disyaki berkhalwat di sebuah rumah sewa, selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pihaknya terdahulu menerima aduan daripada orang awam melalui Rakan Setiaku JAIM (Raseim) yang memaklumkan ternampak kelibat seorang lelaki masuk ke rumah tersebut kira-kira jam 6 petang.

Bertindak di atas aduan tersebut, sepasukan anggota penguat kuasa JAIM telah dikerah melakukan serbuan di lokasi pada jam 10 malam.

Pintu rumah diketuk, dibuka oleh penghuni wanita berusia 22 tahun yang merupakan pelajar institut pengajian tinggi (IPT), menafikan dakwaan ada lelaki di dalam rumah.

Malah, dia menegaskan bahawa rumah sewanya hanya didiami beberapa penyewa wanita sahaja.

Setelah JAIM memaklumkan pihaknya menerima aduan daripada orang awam, wanita itu akur dan mengaku menyembunyikan teman lelakinya di dalam bilik.

Ketika disoal siasat, teman lelakinya yang juga pelajar IPT berusia 22 tahun memberi alasan kedatangannya hanya untuk membantu membaiki paip air tersumbat.

Alasan itu bagaimanapun tidak diterima dan mereka ditahan kerana disyaki bersekedudukan tnapa hubungan sah dan akan disiasat di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.