Pelajar tampil minta maaf gara-gara tular menangis di TikTok mendakwa seharian tidak makan kerana kafe universiti tutup

Pelajar tampil minta maaf gara-gara tular menangis di TikTok mendakwa seharian tidak makan kerana kafe universiti tutup

Seorang penuntut yang sebelum ini tular susulan video menangis kerana sehari tidak makan gara-gara kafe tutup, memuat naik video terbaharu memohon maaf kepada pihak universitinya.

Pemuda itu memaklumkan berlaku salah faham dan pihak universiti sebenarnya menyediakan makanan kepada pelajar yang berdepan masalah.

“Dalam video ini, saya ingin minta maaf kepada pihak universiti sebab sebelum ini saya tersalah faham.

“Walaupun kafe tidak dibuka, tapi pihak universiti telah menyediakan makanan kepada pelajar yang ada masalah kewangan atau masalah untuk mendapatkan sumber makanan.

“Sebenarnya pihak universiti menyediakan makanan dan minuman kepada pelajar yang mempunyai masalah tersebut. Cuma saya tidak tahu tentang perkara itu.

“Maka di sini saya ingin minta maaf sekali lagi kepada pihak universiti kerana salah faham (yang timbul) sebelum ini,” katanya menerusi video yang dimuat naik hari ini, memetik laporan Kosmo!Online.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang pelajar universiti menangis meluahkan kesedihannya kerana sudah sehari tidak makan gara-gara kafe tutup.

Dia yang menggunakan akaun TikTok@bainuckal mendakwa, pihak universiti meminta pelajar untuk melapor diri di kediaman masing-masing lebih awal dari tarikh sesi pengajian bermula, namun kemudahan di institusi tersebut masih belum beroperasi termasuklah kafe.

Selain itu, dia memberitahu, seorang pelajar senior membelikannya makanan yang dibungkus dari kedai luar kerana kasihan akan nasibnya yang masih tidak makan.