Pelajar Tingkatan 2 sekolah agama lapor polis dakwa diraba, dicium dan dipaksa menonton gambar lucah oleh gurunya

Pelajar Tingkatan 2 sekolah agama lapor polis dakwa diraba, dicium dan dipaksa menonton gambar lucah oleh gurunya

Polis menahan seorang guru sekolah agama di Kuala Krai, Kelantan bagi membantu siasatan kes cabul pelajar perempuan Tingkatan Dua.

Memetik laporan portal FMT, Pemangku Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, suspek berusia 36 tahun ditahan pada 2.30 petang semalam selepas mangsa membuat laporan pada hari sama.

Katanya, suspek dikatakan melakukan perbuatan itu sebanyak tujuh kali pada 2020 sehingga Januari tahun lalu.

“Menerusi laporan yang dibuat, mangsa ketika itu berusia 14 tahun mengatakan pada Mac 2020 ketika berada di hadapan Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK), mangsa terserempak dengan gurunya.

“Guru terbabit kemudian memaksa mangsa masuk ke dalam keretanya dan meraba badan serta mencium mangsa beberapa kali,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Zaki berkata mangsa turut diganggu oleh guru itu dengan gambar lucah yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp selain pernah diraba dan dicium di makmal sains sekolah itu tahun lalu.

“Susulan laporan dibuat mangsa, pihak polis menahan suspek iaitu guru Matematik dan Sains, petang semalam.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek negatif dadah dan direman lima hari sehingga 7 Jun ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.