Pelik!!! Dimana silapnya bila kes pelacuran dan mabuk semakin meningkat?
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka menahan empat wanita asing yang menawarkan khidmat seks melalui aplikasi WeChat dalam serbuan di sebuah hotel di Taman Kota Laksamana Jaya, Melaka, semalam.
Bilik hotel berkenaan disewa khas oleh bapa ayam dengan bayaran RM90 semalam dan dikatakan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan bermula jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
Timbalan Pengarah Imigresen Melaka, K Visnutharan berkata, Ops Gegar itu dilaksanakan Bahagian Penguat Kuasa JIM Melaka dengan kekuatan seramai 12 anggota dan pegawai kira-kira 7.30 malam.
Menurutnya, serbuan adalah hasil risikan yang mendapati hotel terbabit menjalankan aktiviti tidak bermoral membabitkan wanita asing menggunakan aplikasi WeChat bagi mendapatkan pelanggan.
“Seorang wanita warga Kyrgyzstan dan seorang warga Indonesia serta dua wanita warga Vietnam berusia 28 tahun hingga 38 tahun ditahan dalam serbuan itu.
“Siasatan mendapati wanita warga asing terbabit sering ditempah oleh lelaki warga tempatan dengan bayaran RM200 hingga RM350 bagi tempoh 45 minit.
“Bayaran dibuat secara tunai kepada wanita terbabit dan kemudiannya akan dikutip oleh penjaga atau bapa ayam.
“Soal siasat ke atas wanita terbabit mendedahkan mereka menerima sehingga lima pelanggan sehari setiap seorang dan dibayar RM100 bagi setiap pelanggan manakala selebihnya diambil bapa ayam,” katanya.
Beliau berkata, serbuan turut menemukan beberapa peralatan yang digunakan untuk khidmat seks serta pasport, resit tempahan bilik dan wang tunai berjumlah RM2,000 hasil aktiviti tidak bermoral itu.
“Dua saman kepada saksi (Borang 29) turut dikeluarkan kepada seorang lelaki tempatan dan pekerja hotel bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, dua wanita warga asing itu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu tinggal lebih masa manakala dua lagi ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) tiada dokumen pengenalan diri.
“Mereka dibawa untuk membuat ujian saringan Covid-19 di Pusat Kesihatan berhampiran sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen,” katanya. – HM