Pemain sape’ Saufi Aiman Yahya meninggal dunia, negara kehilangan ahli muzik bertaraf dunia
Pemetik sape profesional Saufi Aiman Yahya, 31, ditemui meninggal dunia di sebuah premis pejabat di City Square, di sini, pada Khamis.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Bintawa memohon bantuan mengangkat mayat di premis berkenaan sekitar jam 9.13 malam.
Susulan laporan tersebut, sebuah trak FRT dan ambulans EMRS segera diatur gerak ke lokasi dengan kekuatan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan.
“Pasukan kemudian mengesahkan terdapat seorang mayat lelaki dalam keadaan terbaring kaku di lantai ruang bacaan pejabat tersebut.
“Enam anggota kemudian dipakaikan sut perlindungan diri (PPE) untuk mengambil dan mengangkat mayat tersebut, yang dianggarkan seberat 160 kilogram,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani pada Jumaat.
Dalam pada itu, polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR) dan punca kematian mangsa sedang disiasat.
Saufi Aiman merupakan pemain alat muzik sape’ kontemporari profesional yang telah berkecimpung dalam industri selama lebih 10 tahun.
Allahyarham pernah menghasilkan buku rujukan sape’ berdasarkan pengalamannya sebagai Juara Dunia Instrumentalis untuk kategori Klasik, Kontemporari dan Terbuka.
Ia berikutan kejayaannya merangkul empat pingat emas dan satu pingat perak dalam Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-21 pada tahun 2017.
WCOPA ialah pertandingan antarabangsa untuk mengetengahkan bakat-bakat besar yang diadakan setiap tahun di Long Beach, California.