Pemakaian gelang belang hitam antara langkah kerajaan menyusahkan hidup golongan antivaksin
DALAM proses rakyat Malaysia mula menikmati kebebasan hidup, golongan antivaksin pula terpaksa berhadapan dengan beberapa sekatan.
Antaranya tidak dapat bergerak bebas memasuki mana-mana premis, larangan dine-in, larangan rentas negeri dan paling terkini apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) memberi amaran mahu menyusahkan hidup golongan berkenaan.
Kata KJ, ia mungkin agak kasar tetapi pendekatan dibuat kerana golongan tersebut yang memilih untuk tidak mahu divaksin. Sudahlah tidak mahu dicucuk, mereka turut menyebarkan berita palsu dan menggugat keselamatan awam.
Bagaimana mahu membezakan antara golongan antivaksin dan golongan yang tidak dapat divaksin kerana masalah kesihatan?
Setakat ini kita sukar mengecam golongan itu kerana mereka hanya lantang di media sosial dan ada juga berselindung di sebalik akaun palsu untuk menyatakan prinsip mereka sebagai golongan antivaksin.
Mereka juga sekadar berani menyatakan kedudukan masing-masing dalam kumpulan kecil seperti grup WhatsApp kejiranan, ahli keluarga dan rakan-rakan sahaja.
Kumpulan antivaksin masih belum berani untuk menyatakan pegangan hidup mereka secara terbuka seperti mengadakan himpunan beramai- ramai dan membawa sepanduk tertulis tidak mahu divaksin seperti di luar negara.
Oleh kerana kerajaan dalam proses untuk menyusahkan kehidupan golongan antivaksin, maka usaha untuk membezakan dua kumpulan itu melalui label di Mysejahtera perlu dilaksanakan segera.
Antara pendekatan untuk mengetahui siapa mereka ialah antaranya dengan meletakkan tanda ‘tidak mahu divaksin’ atau ‘dikecualikan vaksinasi’ dalam aplikasi itu.
Pendekatan lain yang boleh digunakan ialah dengan mewajibkan pemakaian gelang hitam berbelang kepada geng tersebut supaya masyarakat dapat mengetahui secara fizikal golongan antivaksin.
Dengan tanda gelang itu, secara tidak langsung memudahkan orang ramai ‘menjauhi’ mereka dan memudahkan tugas pihak berkuasa melakukan pemantauan.
Sumber – Sinar Harian