Pemandu tak sengaja tertekan hon kereta, tak tahu ada upacara pengebumian pegawai TLDM

Pemandu tak sengaja tertekan hon kereta, tak tahu ada upacara pengebumian pegawai TLDM

 

Tidak tahu upacara pengebumian pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tidak sengaja tertekan hon kereta.

Itu alasan pemandu kereta yang terlibat dalam kekecohan semasa upacara pengebumian Pegawai Pemerintah Skuadron 503 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli di Masjid Jamek Sungai Nibong malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 7.45 malam selepas pemandu kereta berusia 46 tahun itu terlanggar sebuah motosikal berdekatan masjid tersebut.

Beliau berkata, kereta terbabit kemudian dikerumuni orang ramai dan pemandu kereta tertekan hon akibat berasa panik dengan keadaan itu.

“Berikutan itu berlaku kekecohan dan kenderaan pengadu mengalami sedikit kerosakan.

“Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya dileraikan oleh pasukan polis dan anggota TLDM yang berada di lokasi kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, kedengaran bunyi hon panjang dari sebuah kenderaan ketika perarakan pengebumian Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli sedang berlangsung.

Paparan video kemudian menunjukkan orang ramai sedang mengerumuni sebuah kenderaan yang dipercayai membunyikan hon panjang tersebut.

Semasa kekecohan itu berlaku, dilihat penumpang wanita berbaju kuning tersengih sambil memberi isyarat tangan meminta orang ramai yang mengerumuni keretanya supaya bertenang.

Cermin di bahagian pemandu pula dilihat pecah disebabkan insiden kekecohan tersebut.

Dalam masa sama, Razlam menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengugat ketenteraman awam serta menjejaskan siasatan polis.

Jelasnya, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.