Pemandu Timbalan Menteri Agama enggan mengaku bersalah pandu melulu, potong garisan berkembar
Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan memotong di garisan berkembar, dua bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Nazre Che Mustafa, 31 dikesan melakukan kesalahan tersebut ketika membawa kenderaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut walaupun jelas kesalahannya sempat dirakam pengguna lalu lintas yang lain ketika itu sebelum tular di media sosial.
Kesalahan itu dilakukannya di Jalan Bukit Marak menghala ke Binjai, berhampiran jambatan Gong Dermin Kota Bharu, kira-kira pukul 5.20 petang pada 26 September lalu ketika memandu sebuah kenderaan berjenis Toyota Alphard bernombor plet P 45.
Susulan kejadian itu Ahmad Marzuk memohon maaf selepas klip video menunjukkan Toyota Alphard miliknya dipandu secara berbahaya dan memotong di garisan berkembar serta menerima teguran dan nasihat yang diberikan, sama ada secara terus atau melalui komen di media sosial.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin selain 8 Disember depan untuk serahan dokumen kes.