Pembangkang perlu bersatu dalam muafakat besar

Pembangkang perlu bersatu dalam muafakat besar

Dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) sedang berantakan selepas gagal dalam undian Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 adalah tidak berasas.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, ini berdasarkan sejarah penubuhan gabungan PH yang dibina secara asas dan dasarnya sejak 22 tahun lalu.

Menurutnya, walaupun Amanah parti baharu tetapi pimpinan Amanah adalah pimpinan Pas yang mendukung muafakat tiga parti di era bekas Presiden Pas, Allahyarham, Datuk Fadzil Noor.

Di samping itu, penubuhan Amanah juga adalah bagi meneruskan kelangsungan muafakat ini (Parti Keadilan Rakyat, Pas dan DAP) di mana Pakatan Rakyat roboh akibat pengkhianatan Pas di era Tok Guru Hadi Awang (Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

“Saya yakin sekiranya kedua dua tokoh besar era Almarhum (Datuk) Fadzil Noor dan Tok Guru, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, muafakat besar semua parti pembangkang akan digemblengkan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Faiz yang merupakan anak kepada bekas Presiden Pas (Fadzil Noor) itu berkata, arwah bapanya juga pernah menjalinkan kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau dibuang UMNO.

“Begitu juga dengan Tengku Razaleigh Hamzah ketika beliau menerajui Semangat 46. Pokoknya sesiapa sahaja di barisan pembangkang perlulah bersama menentang musuh yang satu,” katanya.

Beliau berkata, walaupun wujud perbezaan pandangan dalam kalangan pembangkang, titik kebersamaan perlu dicari kerana meramaikan musuh tidak membawa faedah kepada pembangkang,

“Jika pembangkang gagal bersatu, pilihan raya umum ini akan mengembalikan (Datuk Seri) Najib Tun Razak dan ‘kluster penyamun’ ke tampuk kuasa kerana mereka terdesak untuk bebas daripada hukuman penjara,” katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya, pembangkang perlu konsisten mengasak keabsahan Perdana Menteri serta kerajaan Perikatan Nasional dan ia hanya boleh dilakukan dengan satu muafakat yang lebih besar.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/115072/BERITA/Politik/Dakwaan-PH-berantakan-tidak-berasas-Faiz-Fadzil