Pembunuh PGA pos sempadan Malaysia – Thai bakal terlepas, IGP tegur kenyataan KP Perlis

Pembunuh PGA pos sempadan Malaysia – Thai bakal terlepas, IGP tegur kenyataan KP Perlis

Polis kini dalam usaha untuk mengekstradisi tiga suspek utama yang terbabit dalam serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand pada November lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ia bagi membolehkan suspek ditangkap dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah pun menandatangani permohonan ekstradisi baru-baru ini.

“Ia selaras dengan hubungan Malaysia-Thailand melalui Triti yang telah dimeterai di Bangkok, Thailand, 4 Mac 1911 iaitu Treaty Between The United Kingdom and Siam Respecting The Extradition Of Fugutive Criminals.

“Selepas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, pada 27 Oktober 1959 triti ini telah dipersetujui untuk diteruskan sebagai instrumen ekstradisi di antara Malaysia dan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hamid berkata, PDRM komited untuk memastikan segala urusan diambil agar kesemua suspek dalam kes berkenaan dapat dibawa ke Malaysia supaya proses undang-undang dapat dilaksanakan.

Dalam kejadian itu Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala Sarjan Norihan Tari, 39, cedera dalam pertempuran dengan 13 penyeludup kira-kira 600 meter dari tembol sempadan negara berhampiran Pos Kawalan TS9, Padang Besar, Perlis.

Susulan itu, polis giat memburu tiga suspek bagi membantu siasatan kes terbabit dan kini jumlah keseluruhan yang ditahan sebelum ini adalah seramai 52 suspek termasuk empat warga Thailand. – HM