Pemilihan J/kuasa Tertinggi PKBM, KJ sekadar raih 33 undi

Pemilihan J/kuasa Tertinggi PKBM, KJ sekadar raih 33 undi

BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memenangi jawatan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi penggal 2023-2026.

Memetik Sinar Harian,  Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PKBM yang diadakan hari ini, Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) itu meraih 33 undi untuk menduduki tempat kelima daripada pertandingan 10 penjuru.

Walaubagaimanapun, jumlah undian tersebut sudah cukup buat Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali KJ untuk mengisi salah satu daripada lima kuota Naib Presiden PKBM.

Mengulas kemenangannya itu, Khairy Jamaluddin berkata, kini tiba masa untuknya berkhidmat kepada sukan berbasikal dan membantu PKBM.

“Nasib baik saya menang pemilihan ini. Kalau tak maknanya saya kalah semua pertandingan,” katanya dengan nada ketawa ketika ditemui pemberita di Melaka.

Pertandingan Timbalan Presiden PKBM pula menyaksikan kejutan terbesar apabila penyandang jawatan, Yunus Ibrahim dari Negeri Sembilan gagal untuk mempertahankan jawatannya.

Yunus hanya memperoleh 26 undi berbanding 45 yang diraih pencabarnya, Mazlan Md Jalil.

Keputusan tersebut dianggap sangat mengejutkan kerana ramalan awal membayangkan pertandingan sengit satu lawan satu bagi jawatan Timbalan Presiden.

Sementara itu, Datuk Amarjit Singh melakar kejutan terbesar apabila meraih hampir 100 peratus undi dengan menerima 71 daripada 72 sokongan untuk muncul Naib Presiden 1 PKBM.

Selain Amarjit dan Khairy Jamaluddin, turut mengisi jawatan Naib Presiden PKBM ialah Mohd Saiful Abdul Jalil, Dr Zaim Ahmad dan Norazman Abu Samah.

Sebelum pemilihan itu, Datuk Abu Samah Abd Wahab telah diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden PKBM.