Pemilik dedah cerita sebenar, isu komponen gandar belakang Omoda 5 tertanggal rupanya masih belum selesai?

Pemilik dedah cerita sebenar, isu komponen gandar belakang Omoda 5 tertanggal rupanya masih belum selesai?

 

Rupa-rupanya ‘persengketaan’ antara pemilik Omoda 5 yang tertanggal komponen gandar belakang,  iaitu Stephanie  dengan pihak Chery Auto Malaysia masih belum berakhir.

Meskipun syarikat itu telah mengeluarkan satu kenyataan media dan akan memanggil balik sebanyak 600 unit Omoda 5 yang mungkin berpotensi terjejas, Stephanie dalam hantaran terbaharu di akaun Facebooknya telah menafikannya.

Kata Stephanie, pihak Chery Auto Malaysia tidak pernah berhubung secara terus dengannya bagi menyelesaikan isu tersebut.

Keretanya telah dihantar untuk disiasat, dengan harapan pihak syarikat mengenal pasti punca kecacatan yang berpotensi membahayakan nyawa dan menyelesaikannya dengan cepat, demi kebaikan pengguna jalan raya yang lain.

Walaubagaimanapun, Chery Auto Malaysia sebaliknya telah membaiki kereta tersebut TANPA persetujuan darinya  dan mengumumkan bahawa ia sudah siap untuk diambil dalam tempoh kurang dari satu hari.

Berkenaan dengan keretanya, dia langsung tidak menerima sebarang:

  • Kemas kini mengenai isu gandar roda belakang
  • Gambar/foto
  • Penjelasan
  • Laporan

Dia hanya menerima mesej yang mengatakan bahawa keretanya sudah siap untuk diambil, dan itu sahaja. Selepas membuat tindakan susulan dengan mereka untuk laporan itu, Chery akhirnya memberitahunya bahawa pihak syarikat akan mengeluarkan kenyataan awam.

Dia meminta agar pihak syarikat berkongsi kenyataan itu dengannya terlebih dahulu, namun ia telah ditolak. Chery juga berjanji untuk memaklumkan sebarang perkembangan terkini, dan itulah JAWAPAN TERAKHIR yang diterimanya sebelum mengetahui tentang kenyataan rasmi melalui pihak ketiga.

Setakat jam 11.54 malam (30 April 2024), dia masih BELUM menerima:

  • Sebarang laporan mengenai apa yang terjadi kepada keretanya
  • Mesej ihsan yang memberitahunya bahawa pihak syarikat telah mengeluarkan kenyataan
  • Sebarang jawapan sejak pihak syarikat berkata bahawa “akan memberi kemas kini”

Tambah Stephanie, dia HANYA mahukan laporan daripada pihak Chery, namun sehingga kini mereka tidak dapat memberikannya.

Dia amat kecewa dengan kenyataan yang mengelirukan bahawa isu tersebut telah selesai, dan percaya bahawa dirinya telah cukup bersabar atau memahami situasi di mana kecuaian dari pihak Chery dan kelemahan kawalan kualiti bukan sahaja membahayakan nyawa orang yang dia sayangi dan dirinya sendiri, bahkan nyawa pengguna jalan raya lain yang tidak berdosa.

Memanggil balik kereta selepas menemui kecacatan besar yang membahayakan nyawa hanyalah tidakan MINIMUM yang dilakukan sebagai pengeluar kereta.

Ia seolah-olah tidak ikhlas dan bercanggah dengan kenyataan syarikat sebelum ini bahawa masalah keretanya hanyalah “kes yang terpencil” dan mereka kemudiannya memanggil balik 600 unit dengan segera, sambil mengatakan “tiada unit lain yang terjejas”.

Stephanie berharap pihak Chery akan bertanggungjawab terhadap pengguna individu dan berkomunikasi dengannya mengenai laporan keretanya dan langkah seterusnya yang perlu diambil.

Tambah Stephanie, dia lebih suka berkomunikasi secara peribadi dan telah berbuat demikian sejak dia mengeluarkan hantaran asal.

Dia juga menolak untuk menggunakan SEMUA media dan sebarang sesi temu bual sejak insiden tersebut, dengan harapan kedua-dua pihak dapat menangani isu tersebut secara dalaman.

Walau bagaimanapun, jika Chery memilih untuk membuat kenyataan awam dan mengabaikan dirinya, dia tidak mempunyai pilihan selain untuk mencari jawapan melalui media sosial dengan harapan mendapat maklum balas.

Setakat artikel ini diterbitkan, hantara terbaharu itu telah menerima lebih 63 komen dan 820 perkongsian di media sosial.