Pemilik restoran terkejut pelanggan T20 singgah makan dengan helikopter

Pemilik restoran terkejut pelanggan T20 singgah makan dengan helikopter

 

SEORANG pemilik restoran menyifatkan kunjungan sekumpulan pelanggan untuk menikmati makan tengah hari di restorannya di Langkawi hari ini dengan helikopter adalah pengalaman sangat berharga dan mencatat sejarah tersendiri.

Zaidi Hassan, 40, pengusaha restoran Dangau Langkawi berkata dia terkejut dan ketawa ketika menerima panggilan telefon daripada pelanggan tidak dikenali mahu ke restorannya dengan helikopter.

Katanya, dia mengusahakan restoran makanan tradisonal Melayu itu sejak dua tahun lalu dan menerima panggilan daripada pelanggan terbabit pada jam 1.35 tengah hari tadi.

“Mulanya, saya ingat ada rakan yang mahu bergurau, dia (pelanggan) sebut nak makan tengah hari menu set talam yang popular di restoran saya, dan dia bersama beberapa orang nak datang dengan helikopter.

“Saya tanya balik serius ke tempahan ni? Pelanggan tu jawab tunggu 15 minit lagi saya sampai dan turut bertanya mengenai tempat lapang untuk mendarat berhampiran restoran,” katanya ketika dihubungi TV3.

Zaidi berkata dalam tempoh 20 minit kemudian dia terdengar bunyi helikopter terbang rendah dan bunyi enjinnya semakin kuat serta menghala ke kawasan lapang berhampiran restorannya.

“Helikopter yang saya tidak pasti jenisnya itu mendarat di kawasan lapang yang baharu ditambak… jaraknya kira-kira 20 meter dari restoran saya pada jam lebih kurang 2 petang tadi.

“Terdapat sekurang-kurangnya enam individu yang tiba menaiki helikopter, manakala makan tengah hari itu turut disertai antara 10 hingga 15 individu lain yang tiba dengan kereta,” katanya.

Dia berkata keseluruhan kos makan bagi set talam yang mengandungi kari ikan, udang sambal petai, ikan bakar, ulam-ulaman dan sambal belacan serta minuman ditempah oleh kumpulan pelanggan terbabit sekitar RM500.

“Mereka berada di restoran saya kira-kira sejam, sebelum kesemuanya berlepas pulang, malah saya tidak mengenali semua individu yang datang ke restoran saya itu.

“Saya juga tidak pasti dan tidak bertanya mereka datang dari mana? Namun ada mendengar seorang daripada kalangan mereka dipanggil dengan gelaran ‘datuk’,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari ketika dihubungi berkata pihaknya dimaklumkan pendaratan helikopter berhampiran restoran Dangau Langkawi petang tadi dalam pengetahuan dan kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Terdahulu, Zaidi berkongsi keterujaannya menerima pelanggan istimewa itu dengan memuat naik video berdurasi 1 minit 33 saat di laman Facebook miliknya petang ini, dan mendapat komen positif daripada netizen.