Pemimpin Berjasa dakwa sikap ego UMNO punca MN terkubur
Faktor utama keruntuhan Muafakat Nasional (MN) adalah disebabkan sikap ego pemimpin UMNO yang merasakan diri mereka kuat dan mampu berdiri tanpa perlu bergantung kepada mana-mana parti lain.
MN yang dimeterai dua tahun lalu seharusnya diperluaskan dalam membina kekuatan untuk melindungi orang Melayu serta seluruh rakyat Malaysia yang mendukung prinsip keharmonian seperti digaris Perlembagaan Persekutuan.
Pandangan itu disuarakan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim yang menyifatkan, pemimpin terbabit tidak menggunakan peluang terbaik untuk menyatupadukan ummah sebaliknya saling menunjukkan keegoan sendiri.
“BERJASA melihat UMNO ini ego dan tidak bersungguh dalam MN dan hanya mencari kepentingan di saat dia sedang ‘lemas’ dan ketakutan, tetapi kini apabila merasakan dia sebuah parti yang kuat, dia tunjukkan ego dan tidak mahu bantuan dan sokongan parti-parti lain.
“Sebenarnya UMNO memperkudakan orang Melayu sendiri dengan sanggup menagih simpati dan harapan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar menyifatkan MN bukan satu pembentukan kerjasama politik yang dibuat secara formal.
Sebaliknya, perjanjian MN itu hanyalah satu piagam politik yang tidak didaftarkan melalui Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) sebagaimana Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut, Ustaz Zamani menjelaskan, MN perlu dilihat dalam realiti politik semasa dan meletakkan kepentingan bangsa serta agama untuk jangka masa panjang.
Seharusnya parti-parti Melayu menggunakan MN bagi mengukuhkan kedudukan mereka, selain melindungi kepentingan orang Melayu, katanya.
“Kita tidak tahu lagi peluang seperti ini masih ada di masa depan tapi kita tidak mahu guna peluang yang diberikan sebalik berkeras dan tunjuk ego sendiri yang kononnya mampu berdiri sendiri tanpa sokongan lain.
“Ini semua sikap rakus dan pentingkan diri sendiri sahaja yang akhirnya boleh membawa kehancuran parti itu.
“Malah, ia juga merugikan bangsa Melayu serta menjejaskan negara kita sendiri,” ujarnya.
Justeru, beliau melihat perlu ada kesepakatan yang kukuh ditonjolkan di antara parti-parti Melayu demi agenda bangsa dan negara.
Malah, katanya, BERJASA secara terbuka bersedia untuk memberi pandangan sekiranya parti-parti Melayu ini mahu duduk semeja dan memberi peluang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pakar-pakar akademik yang mahu berkongsi kepakaran.
Tetapi jelas beliau, perkara berkenaan hanya mampu dijayakan sekiranya parti-parti Melayu terutama UMNO menurunkan ego dan bersedia terima kekurangan serta kelemahan apabila ditegur.
Sumber – IsmaWeb