Pemimpin NGO berang tiada kelibat pemimpin UMNO hadir serah memo pengampunan Najib

Pemimpin NGO berang tiada kelibat pemimpin UMNO hadir serah memo pengampunan Najib

NGO yang menyerahkan memorandum memohon pengampunan diraja buat Najib Razak daripada Yang di Pertuan Agong mempersoalkan ketidakhadiran pemimpin dan anggota Umno.

“Ada tak satu pemimpin Umno yang hadir? Tak ada satu pun pemimpin Umno hadir hari ini.

“Daripada 191 ketua bahagian, jika setiap ketua bawa 100 orang hari ini, ada 19,000 rakyat di sini.

“Satu bahagian pun tak gerak,” kata Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul, yang mengaku sebagai anggota Umno.

Dia hari ini hadir menyerahkan memorandum bersama kira-kira 300 orang penyokong Najib.

Dia menyifatkan apa yang berlaku hari ini sebagai “daripada singa akan jadi tikus”.

“Apa nak jadi dengan Umno?” kepada pemberita di pintu Istana Negara, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Terdahulu, pertubuhan itu menghantar memorandum bagi memohon Yang di Pertuan Agong memberikan pengampunan diraja kepada Najib yang dipenjara bermula semalam atas kesalahan rasuah.

Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskannya bersalah dalam kes rasuah RM42 juta melibatkan dana SRC International Sdn Bhd.

Bekas perdana menteri dipenjara 12 tahun mulai semalam dan perlu membayar denda RM210 juta.

‘Baik kerjasama dengan DAP’

Sementara itu, Syed Muhammad juga meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Umno Zahid Hamidi turut mengusahakan pengampunan diraja buat Najib.

“Jika, hari ini presiden Umno tak berkeras, PM tak buat sesuatu, saya selaku ahli Umno isytihar untuk keluar Umno sekarang.

“Saya tak perlu ada dalam parti. Baik kerjasama dengan DAP.

“Mereka boleh bersama pemimpin sehingga dia (pemimpin) meringkuk dalam penjara.

“Tapi, Umno hanya power (kuat) dalam media sosial, keluar (ke) jalan takut,” katanya.

Tambahnya, mereka akan berkumpul semula minggu depan dengan kumpulan lebih besar sekiranya tidak ada usaha untuk pengampunan diraja itu.